Home

Thursday, February 07, 2013

Cerpen: Derhakakah Aku? 1


Assalamualaikum w.b.t

Dah lama tak menulis. 
Nak asah semula. 
Doakan yang terbaik ya. :)
___________________________________________________


Suasana sayu menyelimuti Zakwan saat menatap pusara yang masih merah itu. Hanya tinggal dia di situ. Sanak saudara serta sahabat handai sudah lama mengangkat kaki meninggalkan dia sendirian. Kini sesalannya tidak berguna lagi. Biar air mata darah yang mengalir takkan mengubah takdir Ilahi. Dia benar-benar tersentap saat menerima berita tersebut. 

Awan berarak menutupi langit biru. Hari semakin gelap. Kedengaran guruh berdentum menandakan hujan yang bakal membasahi alam ciptaan Allah. Namun Zakwan tidak berganjak walau seinci. Biar dia di sini merawat duka yang dia sendiri tahu takkan terubat. Dia sedar sesalan ini takkan berakhir hingga ke akhir hayatnya. Surah Yaasin yang tangan digenggam erat. Dia hanya mampu menatap bait-bait cinta tuhan itu tanpa mampu melisankan. Dia akui sudah beribu batu menjauhi Sang Pencipta hingga terlupa apakah ini huruf ba, ta atau tsa? Air matanya deras mengalir. Batu nisan yang berdiri di atas pusara diusap perlahan.

"Maafkan Zakwan...."

Zakwan tersentak saat bahunya disentuh seseorang. Air mata segera diseka. 


"Dik, dah nak hujan ni. Elok adik balik dulu," sapaan si pemuda tidak dihiraukan. Pandangannya dialihkan  semula ke pusara di hadapannya.

"Berdoalah semoga arwah tenang di sana. Doa seorang anak yang soleh InsyaAllah akan menjadi cahaya yang menemani si mati," hanya itu yang bisa Aliff katakan sebagai nasihat. Aliff tahu remaja di hadapannya itu bersedih atas pemergian bapanya. Siapa yang tidak bersedih atas pemergian insan yang disayangi. 

Kilat sabung-menyabung. Aliff ingin melangkah pergi sebelum hujan turun. Cangkul di tangan segera diangkat. 

"Berguna ke doa saya ni? Saya anak derhaka! Anak derhaka!" jeritan Zakwan benar-benar mengejutkan Aliff. Zakwan membenamkan wajahnya ke atas pusara bapanya. Tangisannya makin jelas kedengaran. Aliff berusaha menenangkan Zakwan. Hujan mula turun dan semakin lebat. Aliff bertindak mengangkat Zakwan. Perbuatan Zakwan yang meratapi kematian bapanya itu sesuatu yang dilarang agama. 

"Lepaskan aku! Aku ni anak derhaka, baik aku mati saja...Argh..!" rontaan Zakwan semakin menyukarkan Aliff yang ingin membawanya berteduh di pondok berdekatan. 

"Dik, tak baik begini," Aliff mencengkam kuat tangan Zakwan. Rontaan Zakwan semakin lemah lalu dia jatuh pengsan. Aliff serta merta memapah Zakwan ke pondok untuk berteduh. Zakwan dibaringkan di pondok tersebut. Mujurlah Zakwan tidak terlalu berat, dapatlah dia memapahnya. Aliff membuka selipar Zakwan serta melonggarkan pakaiannya agar lebih mudah untuk bernafas. Air hujan ditadah sedikit lalu dipercikkan ke wajah gusar Zakwan. 

"Dik, bangun dik.." pipi Zakwan ditampar perlahan. Kelopak matanya terbuka sedikit demi sedikit. Zakwan cuba bangun perlahan-lahan biarpun kepalanya terasa berat. Dia cuba mengimbas keadaan sekeliling. Saat dia benar-benar sedar air matanya tumpah lagi. Aliff benar-benar simpati dengan keadaan Zakwan yang terlalu bersedih. 

'Ni betul-betul parah ni.' Bisik hatinya.

"Saya nak balik," seliparnya disarungkan ke kedua belah kaki. Belum sempat melangkah Aliff menahannya agar dia tidak meneruskan niatnya.

"Hujan lagi tu. Duduk dulu," Aliff menepuk lantai kayu disebelahnya. Meminta Zakwan duduk di situ. Zakwan hanya menurut kata Aliff. Entah mengapa pemuda yang menggali kubur bapanya itu begitu sabar melayani kerenahnya.

Kedua-dua mereka bisu tanpa bicara. Hanya bunyi hujan yang menimpa atap zink pondok tersebut kedengaran. Aliff tidak tahu apa yang seharusnya dibicarakan. Sungguh, dia ingin tahu apa sebenarnya yang menimpa anak muda ini hingga kesedihannya sampai ke tahap ini. Namun niatnya ditangguhkan takut mengguris hati Zakwan. Zakwan kelihatan termenung. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Aliff segera membuang prasangka buruk terhadap Zakwan. Namun kata-kata yang diucapkan Zakwan masih bermain-main dalam fikirannya. 

'Dia anak derhaka? Tapi kenapa? Benarkah?'

"Ehem.. Nama kau apa?" 

"Zakwan."

"Nama abang Aliff." dia cuba mengubah suasana. Namun tiada reaksi yang diberikan oleh Zakwan. Aliff menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak biasa menghadapi situasi sebegini. Aliff yang terlihat jam di tangan Zakwan lalu teringat bahawa dia belum menunaikan solat Asar. Setelah mengambil wuduk menggunakan air mineral yang dibawanya dia terus sahaja membentangkan kain pelikat dan menunaikan solat. Perbuatan Aliff benar-benar menarik perhatian Zakwan. Fikirannya yang bercelaru sebelum ini berubah tenang saat melihat tindak-tanduk Aliff yang agak asing baginya.

'Ambil wuduk guna air mineral je? Sembahyang tak guna sejadah pulak tu. Peliknya.' 

"La..Abang lupa nak ajak kau solat sekali. Nah, untuk ambil wuduk," Aliff menghulurkan botol air mineral kepada Zakwan. Zakwan kelihatan ragu-ragu untuk menyambut huluran Aliff namun tetap diambilnya. Apa yang dia harus lakukan? Dia tidak tahu cara berwuduk begitu. Dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri. Takkanlah dia mahu berterus terang.

"Zakwan, kenapa ni?"

"Saya....."


----------------------------------