Home

Saturday, June 18, 2011

Cerpen: Tangguhlah Lagi

Raihana mempercepatkan penulisannya. Tugasan karangan yang diberikan Cikgu Azmi masih belum diselesaikan. Beberapa minit lagi guru Bahasa Melayunya itu bakal masuk. Dia tidak kisah tulisannya seperti cakar ayam asalkan tugasan yang diberikan Cikgu Azmi minggu lepas dapat disiapkan. Bukan dia tidak tahu hukuman yang bakal diterima sekiranya dia gagal menyiapkan tugasan tersebut tetapi sikapnya yang suka menangguhkan kerja membuatkan dirinya bakal ditimpa kesusahan. Ditambah pula mulut Cikgu Azmi yang boleh tahan pedasnya membuatkan Raihana semakin cemas.

Tiba-tiba, dakwat pen birunya kehabisan. Raihana segera menyelongkar bekas penselnya. Hanya terdapat pen berwarna hitam. Tanpa berfikir panjang Raihana terus menggunakan pen tersebut.

“Aik? Separuh biru. Separuh lagi hitam. Lepas ni apa? Warna merah pula?” Sabrina, yang duduk disebelahnya menegur. Dia ketawa kecil sambil menghulurkan pen berwarna merah.

“Ikut suka hati akulah. Kau sibuk kenapa?!” marah Raihana. Dia semakin tertekan.

“Itulah. Aku sudah cakap. Jangan suka menangguhkan kerja. Kan diri sendiri yang susah. Sudahlah. Jangan cemas sangat. Cikgu Azmi tidak hadir hari ini,” Sabrina bersuara selamba.

Raihana membulatkan matanya. “Kenapa tak beritahu aku awal-awal?”

Sabrina tersenyum sinis. “Saja nak ajar kau supaya tak menangguhkan kerja.”

Raihana mengetap bibir. Ingin saja dicekik leher rakannya itu. Jika dia tahu Cikgu Azmi tiada hari ini, pasti dia akan menumpukan perhatian ketika Encik Lim mengajar subjek Fizik tadi. Sewaktu Encik Lim memberi penerangan dia sibuk menyiapkan karangan. Buku diletakkan di bawah meja sambil tangannya yang menulis. Encik Lim tidak menyedari akan hal tersebut sejak dia masuk mengajar. Raihana begitu khusyuk. Sabrina beberapa kali mencuitnya supaya mendengar penerangan yang Encik Lim berikan namun dia tidak mengendahkan. Apabila Encik Lim bertanya sama ada para pelajarnya faham atau tidak, Raihanalah yang bersemangat menjawab. Suaranya paling lantang sekali.

“Faham…!”

“Sab, kau kena terangkan balik pada aku apa yang Mr. Lim ajar tadi. Aku tak dapat nak fokus langsung. Mati-mati aku ingat Cikgu Azmi datang. Kau pula bukan nak beritahu aku,” Raihana bersuara seakan-akan merajuk.

“Eh? Aku pula disalahkan. Tak patut betul. Sepatutnya diri kau yang patut disalahkan. Suka sangat buat kerja last minute. Kalau kau siapkan kerja yang Cikgu Azmi beri minggu lepas kau pasti dapat berikan tumpuan tadi. Tetapi sebagai sahabat yang sejati dan mempunyai hati yang suci lagi murni aku akan terangkan semula apa yang Mr. Lim ajarkan tadi,” Sabrina berkata-kata sambil matanya terpejam lagak seorang pelakon teater.

“Sucilah sangat…”

Mereka berdua ketawa bersama-sama.

*************

“Hana, tolong mama angkat kain. Nak hujan ni,” Puan Aimi bersuara dari dapur. Dia sedang sibuk menyediakan minum petang untuk keluarganya.

“Baik mama,” Raihana yang sedang menonton drama kegemarannya menyahut sopan. Jam pada dinding dipandang sekilas. ‘Lagi sepuluh minit drama ni tamat. Kejap lagilah angkat kain.’ Bisik hatinya.

Dengan kekuasaan Allah, hujan turun dengan lebat. Puan Aimi yang menatang dulang di tangan terkejut melihat Raihana masih khusyuk mengadap televisyen.

“Hana, mana kain yang mama suruh angkat tadi?” keras suara Puan Aimi.

Raihana terus bangkit. Sungguh dia terlupa. Dia terus meluru ke luar rumah. Kain yang disidai semuanya basah terkena air hujan. Puan Aimi tidak berhenti-henti berleter. Dia memarahi Raihana yang selalu tidak mendengar katanya.

“Kalau mama suruh apa-apa jangan ditangguh. Buat terus. Hana suka buat kerja last minute. Cubalah ubah sikap tu. Kalau mama cakap dikatakan membebel….”

Raihana hanya menadah telinga. Dia harus menyangkut kain-kain tersebut di dalam rumah pula. Sudah bertambah kerjanya. Tambahan pula drama kegemarannya tidak dapat ditonton hingga tamat. Malang sungguh nasibnya.

************

Begitulah hari-hari yang dilalui Raihana. Tidak sah sekiranya dia tidak menangguhkan kerjanya. Kadang-kadang Puan Aimi mengelakkan diri daripada meminta tolong daripada anaknya itu. Takut tertangguh lagi.

Sabrina, rakan baiknya juga sudah masak benar dengan sikap Raihana yang satu itu. Dia hanya mampu memberikan nasihat kepada Raihana biarpun nasihatnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Usahanya untuk mengubah sikap Raihana itu bagai mencurahkan air ke daun keladi. Sia-sia. Namun dia tidak akan mudah menyerah.

Semalam baru saja Raihana di denda oleh Cikgu Qina kerana gagal menghantar kerja kursus subjek Sejarah dalam masa yang ditetapkan. Apabila dikenakan tindakan barulah Raihana merayu-rayu kepada Sabrina agar membantunya. Sabrina dengan tegas menyatakan dia hanya akan memberikan contoh sahaja. Yang lainnya Raihana perlu berusaha sendiri. Pulang sahaja dari sekolah, Raihana terus mengadap komputer ribanya. Cikgu Qina hanya memberi tempoh selama dua hari. Jika dia tidak juga menyelesaikan tugasan tersebut Cikgu Qina sendiri akan menghubungi ibu bapanya.

Raihana tidak turun untuk makan malam. Dia ingin menyiapkan kerja kursus Sejarahnya itu. Kerja kursus tersebut amat penting kerana akan mempengaruhi markahnya dalam peperiksaan akhir tahun nanti.

“Aduh, sakitnya perut aku. Ni mesti gastrik lagi,” Raihana memegang perutnya. Dia terus membaringkan dirinya di atas katil. Dia mengerang kesakitan. Afini yang mendengar jeritan Raihana pantas menuju ke bilik kakaknya itu.

“Kenapa kakak?” Afini mendekati kakak sulungnya itu. Dia duduk di sisi Raihana.

“Gastriklah Fini. Panggilkan mama,” Raihana bersuara lemah. Kesakitannya tidak dapat ditahan lagi. Puan Aimi terus saja membawa Raihana ke klinik sejurus selepas itu. Walaupun malam telah larut Puan Aimi rela berkorban demi anaknya itu. Suaminya tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat di luar daerah.

“Hana, kan doktor dah pesan sebelum ni jangan skip meals. Dah tahu awak tu ada gastrik, masih tak mahu makan,” bukanlah niat Puan Aimi untuk menambahkan sakit Raihana, dia cuma risau melihatkan keadaan Raihana.

“Maaf mama.”

Sudah sedarkah Raihana dengan sikapnya itu?

*************

“Hana, mama nak pergi ambil abah di KLIA. Afini pun ikut sekali. Mama tengah gorang ayam. Hana tolong tengokkan ya. Sejam lagi mama sampai. Hana hidangkan terus nasi. Abah mesti lapar,” pesan Puan Aimi. Raihana hanya mengangguk. Dia membuntuti langkah Puan Aimi ke pintu. Setelah Puan Aimi bergerak meninggalkan perkarangan rumah Raihana terus mengunci pintu. Takut pula apabila tinggal berseorangan di rumah. Langkah diatur ke dapur. Apabila ayam telah masak Raihana mengangkat ayam tersebut lalu memasukkan pula baki ayam yang masih belum digoreng ke dalam kuali.

Setelah beberapa minit menunggu, Raihana mula bosan. ‘Tengok tv kejaplah. Nanti bila agak-agak dah masak aku angkatlah.’

Dia menuju ke ruang tamu. Televisyen dibuka. Tiada rancangan yang menarik. Dia membaringkan diri di atas sofa. Matanya layu. Dia tertidur.

***********

Raihana dikejutkan dengan suara riuh rendah di luar rumahnya. Dia terbatuk-batuk. Asap hitam telah menyeluruhi rumahnya. Matanya pedih. Kemudian dia terdengar bunyi siren bomba. Bunyi itu semakin sayup pada pendengarannya. Dia jatuh rebah…..

***************

“Hana, bangun nak…” suara Puan Aimi menyapa gegendang telinga Raihana. Kelihatan suasana serba putih di sekelilingnya. Raihana cuba bangun.

“Hana kat mana ni mama?” dia menyoal lemah. Cuma mengingati peristiwa yang membawanya ke tempat asing ini.

“Hana di hospital,” lembut Puan Aimi mengusap kepala Raihana.

Raihana tersentak. Dia telah ingat ke semuanya. Puan Aimi menceritakan bahawa dia amat terkejut menerima panggilan daripada Milah, jiran di belakang rumahnya. Milah menyatakan bahawa rumahnya kebakaran. Saat itu jantung Puan Aimi seakan berhenti berdegup. Mujurlah jiran tetangga berusaha membantu sementara menunggu pihak bomba. Raihana berjaya diselamatkan tetapi dia tidak sedarkan diri. Dia terus sahaja dikejarkan ke hospital.

Raihana insaf. Dia bersyukur kerana masih terselamat. Dia kini sedar dengan kesilapannya. Sejak peristiwa yang hampir meragut nyawanya itu, Raihana tidak lagi menangguhkan apa sahaja kerjanya. Dia akan melakukan kerja-kerja yang diberikan pada awal waktu.

Saturday, June 11, 2011

Aku Mahu Jadi Penulis

Salam :)

Hmmm... Saya sendiri tak tahu nak mulakan dari mana. Dah lama tak update blog. Jadi macam kekok pulak.

Ok! Saya nak berkongsi dengan semua. Dalam post sebelum2 ni ada saya ceritakan tentang novel Pulanglah Saliha hasil karya mak saya. Bila tengok saja novel mak sy sudah diterbitkan saya teringin nak jadi penulis seperti mak saya.

Sebelum ni saya pernah juga try menulis e-novel (Kemarau Hati tajuknya) tapi tak pernah tamatkan. Bila saya baca balik e-novel tu saya sendiri tak tahu ke mana arah tuju jalan cerita tu. pendek kata saya tak buat persediaan untuk menulis. Saya hanya menulis ikut rasa hati dan sekadar menjadikannya hobi.

Sebagai seorang peminat novel, saya terus membaca novel pelbagai peringkat umur sampailah saya jumpa dengan novel terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Bila saya baca novel2 terbitan GISB barulah saya nampak apa yang sepatutnya ada dalam sebuah novel yang baik. Lepas tu mak saya pula menyertai bengkel penulisan GISB. Mak ada ceritakan bahawa "bila nak tulis novel ni mesti ada matlamat." Penulis2 dibrikan tunjuk ajar dalam menghasilkan novel.

Apa niat kita untuk menulis novel ni? Ada orang tulis novel sebab betul-betul minat. Ada juga yang sekadar nak menambah pendapatan dan ada juga yang nak menyampaikan mesej/ dakwah melalui penulisan novel ini. Kata mak lagi, kalau niat kita nak mendapatkan redha Allah dalam menulis ni lagilah bertambah2 pahalanya. Setiap kali orang baca kita akan dapat pahala. Pembaca bukan sahaja dapat kepuasan malah dapat ilmu.

Sekarang ni saya sudah mula menulis novel. baru beberapa bab. Mak banyak bagi semngat dan sokongan. Alia n Syafikah. Mereka kawan saya dan mereka juga sudah mula menulis novel. Sepupu saya di Kelantan juga mahu menulis novel. Saya harap novel kami dapat diterbitkan satu hari nanti. Insya-Allah. Doakan ya..

Saya juga tabik dengan penulis remaja seperti Nurina Izzati yang berusia 15 tahun. Novelnya bertajuk Single Unavailable. Hasif Hamsyari dan Riha J juga antara penulis remaja yang tak kurang hebatnya. Mereka ini patut dijadikan contoh..

Saya harap korang dapat bagi sokongan n pendapat agar dapat mempertingkatkan diri dan juga sebagai motivasi untuk terus menulis.

Wassalam.