Home

Tuesday, May 17, 2011

Cerpen: Sinar Dalam Gelita

HAZRAN gusar. Peperiksaan PMR hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi. Namun dia masih belum dapat menguasai subjek Matematik. Tambahan pula, guru subjek Matematik di sekolahnya cuti bersalin.

“Ibu, Aran selalu dapat markah yang rendah dalam ujian Matematik. Kalau abang tak mati mesti dia boleh ajarkan Aran,”ujar Hazran.

“Hazran! Abang kamu sudah lama pergi. Kamu harus redha. Jangan dikenang-kenangkan insan yang telah tiada.”

Hazran tunduk memandang lantai. Bukan dia tidak redha. Cuma dia hanya merindui satu-satunya saudaranya itu. Hazran menuju ke bilik tidurnya tanpa pamitan. Air mata mengalir menuruni cerun pipinya. Hazran terlena bersama kenangan indah saat abangnya masih di sisi.

**********

Keesokan harinya, kelas tingkatan 3 Amanah menerima seorang guru baru bagi menggantikan Cikgu Ramlah yang cuti bersalin. Imran namanya. Beliau akan mengajar subjek Matematik.

Hari demi hari, Hazran semakin menguasai subjek yang diajarkan oleh Cikgu Imran. Dia berjaya mendapat gred B dalam ujian percubaan PMR. Dia amat bersyukur. Semuanya kerana tunjuk ajar Cikgu Imran. Beliau telah mengadakan kelas tambahan pada setiap petang secara percuma. Hazran dan rakan-rakannya tidak melepaskan peluang keemasan tersebut.

“Cikgu, saya sukalah subjek Matematik ni. Dulu saya tak berminat langsung nak belajar. Cara Cikgu mengajar membuatkan saya lebih faham,” ujar Hazran selepas selesai Cikgu Imran menerangkan soalan yang tidak difahaminya di bilik guru selepas waktu persekolahan.

“Ingat! Sentiasa berfikiran positif. Itulah salah satu masalah pelajar. Belum mencuba sudah berputus asa,” pesan Cikgu Imran.

Nasihat Cikgu Imran itu tersemat dalam jiwa Hazran.

“ Jika kamu mendapat A saya akan belanja kamu makan.”

“Iyakah cikgu? Baiklah. Saya akan buktikan.” Hazran mengangkat tangan lagak seorang tentera.

**********************

Hazran memerhatikan sebuah kereta Waja yang masuk ke perkarangan sekolah pagi itu. Diamatinya pula nombor pendaftarannya.

“Ya Allah, kereta tu!”

“Kenapa Aran?” Jun Xiang, sahabat baiknya yang berjalan beriringan bertanya. Dia melontar pandangan ke arah yang sama. Jun Xiang terkesima. Dia juga pernah ternampak kereta itu sebelum ini.

Lebih mengejutkan, pemandunya ialah Cikgu Imran. Wajah Hazran merah padam. Marah. Benci. Sedih. Kecewa. Perasaannya bercampur baur.

“Sabar Aran. Mari kita ke dewan. Perhimpunan akan bermula beberapa minit sahaja lagi.” Jun Xiang memujuk sambil menarik perlahan tangan Hazran.

Sejak hari itu,kelakuan Hazran terhadap Cikgu Imran dingin. Dia sering sahaja mengelak apabila terserempak dengan beliau. Apabila Cikgu Imran masuk ke kelasnya untuk mengajar dia hanya mendiamkan diri.

“Cikgu Leela, saya nak tanya soalan Matematik boleh? Saya kurang fahamlah.” Cikgu Imran yang duduk berhadapan dengan Cikgu Leela hanya memandang Hazran dengan ekor matanya.

“Hazran, saya minta maaf. Saya perlu hantar pelajar yang sakit ke klinik sekarang. Awak boleh tanya Cikgu Imran. Maafkan saya ya,” Cikgu Leela mencapai tas tangannya.

“Tak mengapalah Cikgu. Terima kasih sajalah,” Hazran terus berlalu. Wajah Cikgu Imran langsung tidak dipandang.

“Kenapa dengan Hazran tu, Imran?” Cikgu Leela melahirkan kekeliruannya. Cikgu Imran hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Cikgu Imran runsing memikirkan sikap Hazran kebelakangan ini. Hazran seperti mengelakkan diri daripada bertembung dengannya.

‘Mungkin dia tertekan. Lagipun PMR hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.’ Cikgu Imran sekadar menyedapkan hati.

*******************

“Kalau abah jumpa orang yang langgar abang, apa yang abah lakukan?” Soalan Hazran membuatkan bapanya berhenti mengunyah. Ibu Hazran pula terkedu mendengar soalan anaknya itu.

“Cukuplah tu Hazran. Sudah lima tahun peristiwa abang kamu dilanggar berlalu. Tak perlulah kamu menyimpan dendam. Maafkanlah sesiapa saja yang melakukannya. Abah tak mahu perkara ni diungkit lagi,” ujar Encik Munif.

“Betul tu Aran. Yang penting Aran doakan arwah abang dicucuri rahmat. Sedekahkan al-Fatihah setiap kali Aran teringatkan dia,” Puan Anis tahu Hazran masih bersedih. Apatah lagi dia, ibu yang melahirkan. Namun dia yakin ada hikmah yang tersirat.

Hazran kecewa. Bukan itu jawapan yang diharapkan. Dia mahu pembunuh abangnya itu dibawa ke muka pengadilan. Cikgu Imran!

“Abah, Aran tahu siapa yang langgar abang! Kita laporkan pada polis ya,” Hazran bersungguh memberitahu bapanya. Di mindanya terbayang Cikgu Imran dihukum atas kesalahan melanggar lari abangnya.

“Aran, senyap!” Tegas.

Hazran mengetap bibir. Nasi di pinggan dipandang sepi. Seleranya mati. Semua lauk kegemarannya kelihatan tidak menyelerakan.

********************

Hazran menarik nafas lega. Dia baru sahaja tamat menjawab kertas terakhir PMR. Dia berniat mahu menghantar buku rujukan yang dipinjam daripada guru Sejarahnya. Pintu bilik guru dikuak. Kakinya terus melangkah ke meja Cikgu Sofea yang bersebelahan dengan meja Cikgu Imran. Setelah mengucapkan terima kasih Hazran berlalu ingin meninggalkan bilik guru.

“Amboi Imran! Sejak pakai kereta baru ni semakin bergaya Kak Su nampak,” Ujar Cikgu Suhaila. Cikgu Imran tersenyum. Kembang kempis hidungnya dipuji begitu.

Langkah Hazran terhenti di muka pintu. Hazran memasang telinganya mendengar perbualan gurunya itu.

‘Kereta baru?’

“Iyalah Kak Su. Mungkin jodoh dah dekat kot,” Cikgu Sofea menokok. Satu bilik guru gamat dengan gelak ketawa mereka.

“ Siapalah yang mahukan saya ni. Rupa tak ada. Harta tak ada. Lagipun kereta tu pun second hand. Baru saja saya beli bulan lepas.”

‘Baru beli?’

Dada Hazran berdegup kencang.

‘Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?’

*********************

“Terima kasih cikgu.”

“Sama-sama. Sudahlah tu. Kamu sepatutnya bergembira hari ini. Bukan menangis.”

Pelukan terlerai. Cikgu Imran menepuk perlahan bahu Hazran. Hazran mengesat air mata di pipi.

“Kamu ingat janji saya?” Dua kali Cikgu Imran mengangkat keningnya.

“Janji? Janji apa cikgu? Tak ingatlah,” dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia betul-betul tidak dapat mengingati janji yang dimaksudkan.

“Itulah. Banyak sangat makan semut. Kalau kamu dapat A subjek Matematik dalam PMR, saya akan belanja kamu makan. Ingat ?”

Dia mengangguk sambil tersenyum. Bagaimana dia boleh terlupa? “Bila cikgu?”

“Sekaranglah.” Cikgu Imran menjawab selamba sambil kakinya melangkah ke tempat letak kereta guru. Hazran membuntuti langkahnya. Cikgu Imran membuka pintu kereta Waja miliknya. Hazran hanya tercegat di hadapan kereta. Ekspresi wajahnya berubah.Takungan kolam air matanya hampir pecah.

“Cikgu..,”

“Maaf, saya terlupa. Kita pergi jalan kaki saja ya?”

Hazran mengangguk.
Cikgu Imran dapat membaca fikirannya. Segalanya sudah Hazran ceritakan kepadanya.Hazran juga memohon maaf bersama deraian air mata tempoh hari. Dia menyesal. Kini dia sedar. Berburuk sangka dengan seseorang akan mendatangkan keburukan. Dia terharu dengan sikap Cikgu Imran yang sudi memaafkannya biarpun dituduh sebagai pembunuh abangnya.

Betapa mulianya seorang guru. Biarpun dicaci. Dihina. Diherdik. Namun tetap setia mencurahkan ilmu kepada anak didik tercinta. Tetap memaafkan. Tetap menyayangi. Tidak dipinta ganjaran lumayan, cukuplah kejayaan sebagai balasan.


Selamat Hari Guru!

Sunday, May 01, 2011

Dengan KuasaMu [Nur One]

Nur One - Dengan KuasaMu.mp3 (klik utk dengar)


Dengan KuasaMu
Jiwaku tergoncang
Terus melayang
Mengembara cinta

Dengan KuasaMu
Hati telah terpaut
Lalu terikat
Ditawan cinta

Bukan bibir ini berbicara
Namun jiwa ini berbahasa
Dalam lamunan ku yakinkan
Kaulah teman kebahagiaan

Tuhan temukan daku penawar
Terluka ditusuk duri cinta
Hanya dia..cuma dia
Yang kan mampu menyembuhnya

Dan terus aku
Terus berdoa
(Hanya dia membawa bahagia)

Dengan KuasaMu
Mataku memandang
Sepenuh sayang
Dia tercinta

Dengan KuasaMu
Pastiku diseru
Dan kan menyatu
Di ambang cinta