Home

Friday, December 23, 2011




Salam.

Alhamdulillah, cerpen saya telah terpilih untuk disiarkan di dalam Majalah Rebung isu 5.

Memang tak sangka sebab dah lama e-mailkan cerpen tu. Ingatkan tak terpilih. Cerpen yang tersiar tu tajuknya Tangguhlah Lagi tapi dah diubah kepada Padah Tangguh Kerja.

Kalau nak baca boleh klik SINI.



Terima Kasih Majalah Rebung.. :)

Thursday, December 15, 2011

Putus Cinta

Putus cinta sesama manusia kadangkala mengajar kita untuk mula cintakan Allah secara serius dan fokus.

Semua yang datang daripada Allah adalah baik walaupun belum terserlah kebaikannya.

Jika anda putus cinta dengan kekasih anda katalah pada diri anda, "Aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia dan bercinta dengan Allah.






~Kadang-kadang Allah memutuskan untuk menyambungkan.~

sumber: Majalah SOLUSI.

Saya nak kongsikan cerpen CINTA hasil karya Hilal Asyraf. Klik SINI untuk membaca.

Sunday, December 11, 2011

Nak pakai ke tak?

Assalamualaikum w.b.t

Pernah tak korang semua dengar ayat macam ni?


"Aku tak pakai tudung tapi hati baik. Orang yang pakai tudung pun ada lebih teruk daripada aku. Pegang-pegang dengan lelaki bukan mahram, tak solat. Baik tak payah pakai tudung."

"Aku bukan tak nak pakai tudung tapi belum sampai seru."

"Bila aku dah insaf nanti aku pakai tudung, ye ustazah. Labuh sampai ke lutut."

"Aku tak nak hipokrit pakai tudung. Bila sampai seru aku pakailah."


Hmm... Apa pendapat korang?

Ramai yang tertanya-tanya tentang persoalan ni.

Kalau nak tahu jawapannya klik SINI.




Friday, December 09, 2011

Kebaikan mengamalkan surah Al-Kahfi

Assalamualaikum w.b.t

Setiap
pagi Jumaat bacalah surah Al-Kahfi, kalau tak mampu habiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh- Allah janji ‘cahaya’ di hari kiamat dan diampunkannya diantara dua Jumaat. Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit.’

Thursday, December 08, 2011

Dingin Lavenda TV3

Assalamualaikum w.b.t

Baru-baru ni adalah tengok iklan dekat tv. Drama bersiri yang bakal ditayangkan di slot Zehra TV3. 'Dingin Lavenda' lakonan Eira Syazira. Mula-mula tengok iklan tu macam tak berminat. Tapi semalam kat FB ada promo drama tu dekat FB Galeri Ilmu.



Rupa-rupanya drama tu adaptasi novel Dingin Salju Indiana. Penulisnya Nurulsham Saidin.
Jalan cerita novel tu memang menarik. Saya dah lama baca novel tu. Sebelum nak tengok drama tu malam esok nak baca balik sebab dah lupa. Harap-harap drama tu tak menghampakan. :)






Kalau nak tau lebih lanjut mengenai drama ni boleh klik sini.



Dingin Lavenda

Sinopsis novel:

Jannah dan Murni memilih Indiana, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian, tanpa

menyangka hadirnya cabaran yang menggugat persahabatan dan permasalahan yang

mencabar keimanan. Murni terpesona dengan kehidupan Barat yang dirasakannya cukup

indah untuk dikecapi. Jannah yang tegas dengan prinsip sebagai seorang Islam, pernah

mengaku kalah di tengah jalan, namun dia harus lebih kuat menghadapi keadaan. Masalah

teman serumah, Nana, cukup memeningkan. Sikap prihatin melampau Kak Zai mengundang

rencah rasa. Dalam masa yang sama, dua jejaka hadir di hati Jannah: Azhar dengan surat-

suratnya yang membaja semangat dan Matthew, pemuda Kristian yang mencari kebenaran.

Siapakah yang jodohnya Allah tentukan buat Jannah?

Thursday, December 01, 2011

Fitrah Cinta

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ni saya nak berkongsi sesuatu tentang cinta. Saya bukanlah pakar tentang cinta. Hanya sekadar perkongsian. :)

1. Cinta itu fitrah manusia.

Bila sebut pasal cinta majotirinya akan membayangkan cinta antara lelaki dan perempuan. Tanggapan tu tak tepat. Dalam Islam ada banyak cabang cinta. Cinta kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan lain-lain lagi. Dalam satu tazkirah yang disampaikan oleh Fatimah Syarha, beliau ada bertanya;

'Siapa yang tak pernah bercinta?'
Beberapa orang tak angkat tangan.
'Orang yang tidak pernah merasai cinta adalah orang yang tak normal.'

Jadi tak salah kita mencintai seseorang tetapi ada caranya.

2.Cinta ibarat gula

Kenapa macam gula? Contohnya, kalau kita nak bancuh secawan teh kita akan masukkan 2 sudu gula. Macam mana kalau kita masukkan 10 sudu gula? Mesti sangat manis dan boleh menyebabkan kencing manis atau diabetes. Sama jugak dengan cinta. Kalau kita Cintakan seseorang kita mesti kawal cinta tu. Jangan cinta kita tu melebihi cinta kita kepada Allah. Kita kita takkan bahagia kalau cinta kita tu melebihi cinta kepada Allah.

3. Hanya pinjaman

Kalau kita mencintai seseorang tu anggaplah Allah hanya meminjamkannya. Contohnya cinta kepada ibu bapa. Apabila kita kehilangan mereka kita tidak akan terlalu sedih kerana kita tahu mereka hanyalah pinjaman daripada Allah.

4. Hamba Cinta

Seseorang yang bercinta akan menjadi hamba terhadap apa yang dicintainya. Jika mencintai Allah, maka jadilah dia hamba kepadaNya yang taat menjalankan perintah serta menjauhi laranganNya.

5. Sejadah hamparan dunia

Kata-kata ini dipetik daripada Hilal Asyraf. Orang yang mencintai Allah akan menjadikan sejadah sebagai hamparan dunia. Dia akan sentiasa membuat kebaikan. Cuba kita fikir, ada tak orang yang merokok di atas sejadah. Pastinya tidak. Orang yang berada di atas sejadah pastinya kan bersolat, berzikir dan mengabdikan diri kepada penciptaNya.


Moga bermanfaat. :)

Rujukan:

Fatimah Syarha. Hilal Asyraf. Majalah SOLUSI.

Thursday, November 17, 2011

Alhamdulillah...

Salam.

Alhamdulillah. Tahniah Muhammad Fawwaz bin Mohamad Nadzir (adik saya). :)

9A Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) dan Tokoh Pelajar Lelaki 2011 Sek. Ren. Agama Kasyful Ulum.

Semoga kejayaan ini akan membangkitkan semangatnya untuk terus sukses!
Moga Allah Redha.


Cubaan..cubaan..

Salam. Ini bab 1 cerita yang nak saya novelkan. Tapi tak tahulah macam mana. Saya masih belajar menulis. Baca dan komen ya. :)

***

Hari pertama persekolahan pada tahun ini berjalan lancar. Ikhwan dilantik sebagai ketua kelas tingkatan 5 Bestari. Sudah dua tahun berturut-turut dia memegang jawatan itu di sekolahnya. Sifat ringan tulang serta bertanggungjawab yang dimiliki Ikhwan membuatkan rakan sekelasnya tidak ragu-ragu dalam memilihnya untuk menjawat jawatan tersebut. Ikhwan juga amat disenangi guru-guru di sekolahnya. Sekiranya guru-guru memerlukan bantuan Ikhwan dengan senang hati membantu.

Seperti biasa, pada awal sesi pembelajaran guru-guru meminta para pelajar memperkenalkan diri masing-masing. Ikhwan juga tidak ketinggalan.

“Nama saya Ikhwan. Saya anak tunggal. Tinggal di Taman Sentosa,” Ikhwan duduk setelah memperkenalkan diri kepada Cikgu Wardah , guru subjek Kimia merangkap guru kelasnya. Ikhwan kemudiannya duduk. Tangannya dicuit seseorang.

“Kenapa kau cakap begitu?” Yusran yang duduk di sebelah Ikhwan menyoal. “Cakap apa?”

Ikhwan membalas pertanyaan Yusran dengan satu lagi pertanyaan. Pandangannya terarah ke depan. Cikgu Wardah sedang menerangkan pula buku-buku yang harus disediakan untuk subjek Kimia yang bakal diajarnya.

“Kau tipu cikgu,” perlahan Yusran bersuara. Takut didengari Cikgu Wardah.

“Sampai bila kau mahu berdendam dengan abang kau? Sampai bila kau mahu tipu semua orang?” Yusran menyambung apabila mendapati Ikhwan tidak memberikan respon.

“Cukuplah Yusran. Aku tak mahu lagi bercakap soal itu. Kau takkan pernah faham perasaan aku. Sebab itulah kau anggap aku membesarkan perkara yang kecil,” Ikhwan bersuara dengan tenang tetapi tegas. Ikhwan menarik nafas panjang. Dia kemudiannya mengeluarkan sebuah buku latihan dari beg sekolahnya tanpa menghiraukan Yusran.

Yusran serba salah. Dia tidak sepatutnya membangkitkan soal itu. Di sekolah, hanya dia yang tahu akan kewujudan saudara kandung Ikhwan. Ikhwan telah menceritakan segala yang berlaku kepadanya. Dia meminta agar Yusran tidak menghebohkan perkara tersebut. Yusran merupakan sahabat baik Ikhwan semenjak tingkatan dua lagi. Ikhwan benar-benar mempercayai Yusran. Oleh sebab itu, dia menceritakan apa sahaja masalah yang dihadapinya kepada Yusran.

Ikhwan tidak langsung menegur Yusran sepanjang waktu persekolahan hari itu. Mungkin berjauh hati apabila Yusran membangkitkan isu abangnya itu. Ketika pulang dari sekolah Yusran segera mendapatkan Ikhwan yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkannya. Selalunya mereka akan pulang ke rumah bersama-sama. Memandangkan kawasan perumahan yang mereka duduki tidak jauh dari sekolah jadi mereka hanya berjalan kaki.

“Ikhwan, tunggu aku!”

Jeritan Yusran tidak dihiraukan. Malah langkah kaki Ikhwan semakin laju.

Yusran mendepakan tangan menghalang perjalanan sahabatnya itu.Kemudian tangan diletakkan di lutut dengan tubuh yang sedikit bongkok, dia kepenatan.

“Ikhwan, kau tak sayang akukah? Sampai semput aku kejar kau.” Yusran bersuara dengan nafas yang putus-putus.

Pertanyaan Yusran membuatkan ketawa Ikhwan pecah.

“Ya Allah, meremang bulu roma aku. Sayang? Kau ingat aku ni kekasih kaukah? Lagipun aku tak suruh pun kau kejar aku,” Bahu Yusran ditolak lalu langkahnya diteruskan.

“Jadi, kau dah tak marahlah?”

“Marah? Sebab apa nak marah?” Ikhwan menaiki tangga jejantas untuk menyeberangi jalan. Yusran masih lagi setia mengekorinya.

“Pasal tadi? Aku minta maaf. Aku bukannya berniat nak sakiti hati kau.”

“Benda kecil saja. Sudahlah. Petang ini kau main bola tak?”

“Mestilah. Tapi aku datang lewat sikit. Ummi aku minta tolong jagakan gerai sekejap,” Ikhwan sudah maklum mengenai gerai makanan milik ibu Yusran. Keluarga Yusran bukanlah dari kalangan keluarga yang senang. Yusran mempunyai tujuh orang adik-beradik dan dia merupakan anak sulung. Setiap hari dia harus membantu ibunya di gerai. Ikhwan tetap menerima Yusran seadanya. Dia tidak memilih dalam bersahabat. Itulah yang membuatkan semua orang menyenanginya.

“Baiklah. Jumpa petang nanti,” mereka berpisah di simpang jalan.

*****

“Bau apa pula ni? Macam bau durian.” Ikhwan menutup hidungnya. Dia memang tidak gemar akan bau durian apatah lagi memakannya. Ikhwan menuju ke dapur. Beg sekolah ditinggalkan di tepi tangga yang berdekatan dengan dapur.

“Ikhwan dah balik? Mari makan. Ibu sudah hidangkan,” Puan Maisarah menceduk nasi ke dalam pinggan lalu dihulurkan kepada Ikhwan.

“Ibu beli durian?” pandangan Ikhwan melilau ke seluruh ruang dapur. Kelihatan dua biji durian yang terletak di atas lantai. Ikhwan tidak menyangka kerana ibunya tidak membeli durian semenjak pemergian abangnya ke UK. Maksudnya sudah lima tahun rumahnya tidak dicemari bau durian. Marwan sememangnya gemar memakan durian. Dia boleh memakan sebiji durian seorang diri. Berbeza pula dengan Ikhwan. Bau durian saja boleh membuatkannya hendak termuntah.

“Ya. Dua hari lagi Marwan pulang. Ibu lupa nak beritahu Ikhwan. Ibu pun baru tahu semalam. Itu yang ibu beli. Diakan suka,” Puan Maisarah tersenyum lebar. Dia sememangnya menunggu kepulangan anak sulungnya itu.

“Apa?! Ibu berguraukan?” Ikhwan tidak mempercayai berita kepulangan Marwan. Dia menganggap Puan Maisarah tidak serius dengan kata-katanya tadi.

“Betullah. Mana ada ibu bergurau. Marwan ada telefon ibu hari tu.”

Ikhwan memandang tepat wajah ibunya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Hatinya terasa perit.

“Ibu, Ikhwan naik dululah,” Ikhwan bangkit dari kerusi. Puan Maisarah menyedari akan perubahan wajah Ikhwan.

“Ikhwan, tak usahlah berdendam lagi. Tak baik. Maafkanlah Marwan ya.” Puan Maisarah menasihati Ikhwan. Dia tahu perasaan Ikhwan terhadap Marwan masih belum berubah.

Mata Ikhwan berkaca. Tidak dapat dibayangkan apabila dia harus berhadapan dengan Marwan.

*****

“Ambilkan tuala aku,” Marwan bersuara kepada adiknya. Ikhwan yang ketika itu leka menonton televisyen tidak mendengar suruhan Marwan. Terlalu khusyuk dengan rancangan kartun pada waktu senja itu.

Marwan hilang sabar. Dia menganggap Ikhwan berpura-pura tidak mendengar arahannya. Tangannya pantas meluku kepala adiknya itu.

“Aduh!”

Ikhwan mengaduh kesakitan. Kepalanya pening. Dia memandang Marwan yang entah bila berdiri di belakang sofa. Tadi abangnya keluar menghadiri latihan bola sepak di sekolah. Ikhwan yang tidak menyedari kepulangan abangnya terpinga-pinga sambil menahan sakit.

“Aku cakap kau buat-buat tak dengar pula. Sengaja nak menaikkan darah aku,” Marwan menarik pula telinga Ikhwan.

“Sakit abang! Maafkan Ikhwan. Ikhwan betul-betul tak dengar. Abang suruh apa tadi? Ikhwan buat sekarang. Tapi abang lepaslah dulu,” Ikhwan bersungguh-sungguh merayu. Dia tidak mampu melawan abangnya. Jika dia berani melawan pasti buruk padahnya. Ini bukanlah kali pertama. Sudah beribu kali dia dikasari oleh abangnya. Semuanya kerana perkara yang kecil. Marwan sengaja mahu membesar-besarkan kesalahannya yang amat remeh. Kesalahan yang boleh dimaafkan.

Marwan merengus kasar. Dia melepaskan telinga Ikhwan yang ditariknya. Ikhwan menggosok-gosok telinganya. Dia yakin pasti telinganya merah. Ikhwan segera menuruti perintah Marwan. Dia segera mengambil tuala abangnya di ampaian belakang rumah. Apa saja suruhan Marwan pasti dia tunaikan tanpa alasan. Dia pernah mengadu kepada Puan Maisarah tetapi teruk pula dia dipukul oleh Marwan. Sejak itu dia tidak mahu mengambil risiko lagi. Puan Maisarah yang selalu lewat pulang dari tempat kerjanya menyebabkan Ikhwan sering dibuli abangnya.

Malam itu seperti biasa Ikhwan akan menunggu kepulangan ibunya. Biasanya Puan Maisarah akan pulang pada pukul lapan malam. Dia terlalu sibuk menguruskan butik Muslimah yang baru dibuka. Alhamdulillah, dengan berkat usahanya dia berjaya memiliki sebuah butiknya sendiri.

“Assalamualaikum ibu,” Ikhwan menyapa ibunya yang baru melangkah ke muka pintu. Dia menyalami tangan ibunya. Puan Maisarah kemudiannya duduk di sofa melepaskan penat.

“Ibu penat? Nak air? Ikhwan buatkan ya.”

Puan Maisarah hanya menggeleng. Dia memandang wajah anaknya itu. Sememangnya Ikhwan mirip wajah arwah suaminya. Terutama bahagian hidungnya yang mancung itu. Cuma kulitnya lebih putih.Tiba-tiba, matanya melekat pada telinga Ikhwan pula. Merah.

“Ikhwan, abang buat perangai lagi?” Puan Maisarah bersuara tenang. Ikhwan hanya diam. Tidak mahu menyatakan apa-apa.

“Cakaplah. Jangan risau, ibu ada.”

“Dia…”

Belum sempat Ikhwan bersuara Marwan yang baru menuruni tangga memotong percakapannya.

“Ha.. Mengadulah pada ibu. Beritahu semuanya. Ada aku kisah?” Marwan bersuara sinis. Ikhwan tidak jadi berbicara. Hanya tunduk memandang lantai.

“Marwan! Kenapa kasar dengan adik? Ibu dah pesan banyak kali. Kenapa degil sangat? Ini mesti nak keluar lagi. Cubalah duduk di rumah pula. Tahun depan awak nak SPM,” Puan Maisarah berusaha menasihati anak sulungnya itu. Namun Marwan tidak mengendahkan. Tangannya pantas mencapai topi keledar di atas rak kasut di luar rumah.

“Ibu, sudahlah membebel tu. Marwan penatlah dengar itu berleter saja. Marwan pergi dulu.”

Marwan memang kerap keluar pada waktu malam. Dia lebih suka melepak bersama rakan-rakannya di kefe siber berhampiran dengan rumahnya. Bukannya Puan Maisarah tidak melarang tetapi Marwan tetap keras kepala dengan sikapnya itu.

Ikhwan masih ingat peristiwa itu. Peristiwa dia dikasari. Kepalanya diluku hanya kerana dia tidak mendengar panggilan Marwan. Ikhwan mengepal penumbuk. Dia tidak mahu lagi dirinya dikasari. Tidak lagi! Ikhwan berazam pada dirinya sendiri.

Malam itu Ikhwan terlelap bersama dendam yang membara terhadap abangnya sendiri. Dendam yang hadir dari hasutan syaitan yang takkan pernah putus-putus melaga-lagakan manusia seperti yang pernah dilakukan terhadap Habil dan Qabil yang akhirnya membawa kepada pembunuhan yang pertama di atas muka bumi ini.

Friday, October 28, 2011

Sunday, July 24, 2011

KONSERT PALESTIN IN OUR HEART VI



Tarikh : 29 July 2011 (Jumaat)

Waktu : 7.00 pm – 12.00 am

Tempat : Open Stage, International Islamic College ( IIC )

Untuk maklumat lanjut klik sini






Tuesday, July 12, 2011

Ujian Hidup (Imam Muda)




Ketika hidupku tertekan
Mengaburi pedoman
KepadaNya akan kupergi
Untuk mencari bimbingan

Kuserah takdir di tanganNya
Mengukir perjalanan
Biar ujian hidup melanda
Kutabah menerima kerana

Walaupun tak dikurnia kemasyhuran
Walaupun tak dilimpah kemewahan
Hatiku tetap memuji
NamaMu selalu Ya Rabbi

Walaupun tak diberi kemakmuran
Akan ku memanjangkan kesabaran
Ku tetap syukur pada Ilahi
Kerana mengurniakan nyawa ini

Dia di hati selalu
Memberikanku petunjuk
Apabila pemandangan samar

Biarpun hidup digoda
Ujian dan pancaroba
Pasti ada hikmah di akhirnya

Saturday, June 18, 2011

Cerpen: Tangguhlah Lagi

Raihana mempercepatkan penulisannya. Tugasan karangan yang diberikan Cikgu Azmi masih belum diselesaikan. Beberapa minit lagi guru Bahasa Melayunya itu bakal masuk. Dia tidak kisah tulisannya seperti cakar ayam asalkan tugasan yang diberikan Cikgu Azmi minggu lepas dapat disiapkan. Bukan dia tidak tahu hukuman yang bakal diterima sekiranya dia gagal menyiapkan tugasan tersebut tetapi sikapnya yang suka menangguhkan kerja membuatkan dirinya bakal ditimpa kesusahan. Ditambah pula mulut Cikgu Azmi yang boleh tahan pedasnya membuatkan Raihana semakin cemas.

Tiba-tiba, dakwat pen birunya kehabisan. Raihana segera menyelongkar bekas penselnya. Hanya terdapat pen berwarna hitam. Tanpa berfikir panjang Raihana terus menggunakan pen tersebut.

“Aik? Separuh biru. Separuh lagi hitam. Lepas ni apa? Warna merah pula?” Sabrina, yang duduk disebelahnya menegur. Dia ketawa kecil sambil menghulurkan pen berwarna merah.

“Ikut suka hati akulah. Kau sibuk kenapa?!” marah Raihana. Dia semakin tertekan.

“Itulah. Aku sudah cakap. Jangan suka menangguhkan kerja. Kan diri sendiri yang susah. Sudahlah. Jangan cemas sangat. Cikgu Azmi tidak hadir hari ini,” Sabrina bersuara selamba.

Raihana membulatkan matanya. “Kenapa tak beritahu aku awal-awal?”

Sabrina tersenyum sinis. “Saja nak ajar kau supaya tak menangguhkan kerja.”

Raihana mengetap bibir. Ingin saja dicekik leher rakannya itu. Jika dia tahu Cikgu Azmi tiada hari ini, pasti dia akan menumpukan perhatian ketika Encik Lim mengajar subjek Fizik tadi. Sewaktu Encik Lim memberi penerangan dia sibuk menyiapkan karangan. Buku diletakkan di bawah meja sambil tangannya yang menulis. Encik Lim tidak menyedari akan hal tersebut sejak dia masuk mengajar. Raihana begitu khusyuk. Sabrina beberapa kali mencuitnya supaya mendengar penerangan yang Encik Lim berikan namun dia tidak mengendahkan. Apabila Encik Lim bertanya sama ada para pelajarnya faham atau tidak, Raihanalah yang bersemangat menjawab. Suaranya paling lantang sekali.

“Faham…!”

“Sab, kau kena terangkan balik pada aku apa yang Mr. Lim ajar tadi. Aku tak dapat nak fokus langsung. Mati-mati aku ingat Cikgu Azmi datang. Kau pula bukan nak beritahu aku,” Raihana bersuara seakan-akan merajuk.

“Eh? Aku pula disalahkan. Tak patut betul. Sepatutnya diri kau yang patut disalahkan. Suka sangat buat kerja last minute. Kalau kau siapkan kerja yang Cikgu Azmi beri minggu lepas kau pasti dapat berikan tumpuan tadi. Tetapi sebagai sahabat yang sejati dan mempunyai hati yang suci lagi murni aku akan terangkan semula apa yang Mr. Lim ajarkan tadi,” Sabrina berkata-kata sambil matanya terpejam lagak seorang pelakon teater.

“Sucilah sangat…”

Mereka berdua ketawa bersama-sama.

*************

“Hana, tolong mama angkat kain. Nak hujan ni,” Puan Aimi bersuara dari dapur. Dia sedang sibuk menyediakan minum petang untuk keluarganya.

“Baik mama,” Raihana yang sedang menonton drama kegemarannya menyahut sopan. Jam pada dinding dipandang sekilas. ‘Lagi sepuluh minit drama ni tamat. Kejap lagilah angkat kain.’ Bisik hatinya.

Dengan kekuasaan Allah, hujan turun dengan lebat. Puan Aimi yang menatang dulang di tangan terkejut melihat Raihana masih khusyuk mengadap televisyen.

“Hana, mana kain yang mama suruh angkat tadi?” keras suara Puan Aimi.

Raihana terus bangkit. Sungguh dia terlupa. Dia terus meluru ke luar rumah. Kain yang disidai semuanya basah terkena air hujan. Puan Aimi tidak berhenti-henti berleter. Dia memarahi Raihana yang selalu tidak mendengar katanya.

“Kalau mama suruh apa-apa jangan ditangguh. Buat terus. Hana suka buat kerja last minute. Cubalah ubah sikap tu. Kalau mama cakap dikatakan membebel….”

Raihana hanya menadah telinga. Dia harus menyangkut kain-kain tersebut di dalam rumah pula. Sudah bertambah kerjanya. Tambahan pula drama kegemarannya tidak dapat ditonton hingga tamat. Malang sungguh nasibnya.

************

Begitulah hari-hari yang dilalui Raihana. Tidak sah sekiranya dia tidak menangguhkan kerjanya. Kadang-kadang Puan Aimi mengelakkan diri daripada meminta tolong daripada anaknya itu. Takut tertangguh lagi.

Sabrina, rakan baiknya juga sudah masak benar dengan sikap Raihana yang satu itu. Dia hanya mampu memberikan nasihat kepada Raihana biarpun nasihatnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Usahanya untuk mengubah sikap Raihana itu bagai mencurahkan air ke daun keladi. Sia-sia. Namun dia tidak akan mudah menyerah.

Semalam baru saja Raihana di denda oleh Cikgu Qina kerana gagal menghantar kerja kursus subjek Sejarah dalam masa yang ditetapkan. Apabila dikenakan tindakan barulah Raihana merayu-rayu kepada Sabrina agar membantunya. Sabrina dengan tegas menyatakan dia hanya akan memberikan contoh sahaja. Yang lainnya Raihana perlu berusaha sendiri. Pulang sahaja dari sekolah, Raihana terus mengadap komputer ribanya. Cikgu Qina hanya memberi tempoh selama dua hari. Jika dia tidak juga menyelesaikan tugasan tersebut Cikgu Qina sendiri akan menghubungi ibu bapanya.

Raihana tidak turun untuk makan malam. Dia ingin menyiapkan kerja kursus Sejarahnya itu. Kerja kursus tersebut amat penting kerana akan mempengaruhi markahnya dalam peperiksaan akhir tahun nanti.

“Aduh, sakitnya perut aku. Ni mesti gastrik lagi,” Raihana memegang perutnya. Dia terus membaringkan dirinya di atas katil. Dia mengerang kesakitan. Afini yang mendengar jeritan Raihana pantas menuju ke bilik kakaknya itu.

“Kenapa kakak?” Afini mendekati kakak sulungnya itu. Dia duduk di sisi Raihana.

“Gastriklah Fini. Panggilkan mama,” Raihana bersuara lemah. Kesakitannya tidak dapat ditahan lagi. Puan Aimi terus saja membawa Raihana ke klinik sejurus selepas itu. Walaupun malam telah larut Puan Aimi rela berkorban demi anaknya itu. Suaminya tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat di luar daerah.

“Hana, kan doktor dah pesan sebelum ni jangan skip meals. Dah tahu awak tu ada gastrik, masih tak mahu makan,” bukanlah niat Puan Aimi untuk menambahkan sakit Raihana, dia cuma risau melihatkan keadaan Raihana.

“Maaf mama.”

Sudah sedarkah Raihana dengan sikapnya itu?

*************

“Hana, mama nak pergi ambil abah di KLIA. Afini pun ikut sekali. Mama tengah gorang ayam. Hana tolong tengokkan ya. Sejam lagi mama sampai. Hana hidangkan terus nasi. Abah mesti lapar,” pesan Puan Aimi. Raihana hanya mengangguk. Dia membuntuti langkah Puan Aimi ke pintu. Setelah Puan Aimi bergerak meninggalkan perkarangan rumah Raihana terus mengunci pintu. Takut pula apabila tinggal berseorangan di rumah. Langkah diatur ke dapur. Apabila ayam telah masak Raihana mengangkat ayam tersebut lalu memasukkan pula baki ayam yang masih belum digoreng ke dalam kuali.

Setelah beberapa minit menunggu, Raihana mula bosan. ‘Tengok tv kejaplah. Nanti bila agak-agak dah masak aku angkatlah.’

Dia menuju ke ruang tamu. Televisyen dibuka. Tiada rancangan yang menarik. Dia membaringkan diri di atas sofa. Matanya layu. Dia tertidur.

***********

Raihana dikejutkan dengan suara riuh rendah di luar rumahnya. Dia terbatuk-batuk. Asap hitam telah menyeluruhi rumahnya. Matanya pedih. Kemudian dia terdengar bunyi siren bomba. Bunyi itu semakin sayup pada pendengarannya. Dia jatuh rebah…..

***************

“Hana, bangun nak…” suara Puan Aimi menyapa gegendang telinga Raihana. Kelihatan suasana serba putih di sekelilingnya. Raihana cuba bangun.

“Hana kat mana ni mama?” dia menyoal lemah. Cuma mengingati peristiwa yang membawanya ke tempat asing ini.

“Hana di hospital,” lembut Puan Aimi mengusap kepala Raihana.

Raihana tersentak. Dia telah ingat ke semuanya. Puan Aimi menceritakan bahawa dia amat terkejut menerima panggilan daripada Milah, jiran di belakang rumahnya. Milah menyatakan bahawa rumahnya kebakaran. Saat itu jantung Puan Aimi seakan berhenti berdegup. Mujurlah jiran tetangga berusaha membantu sementara menunggu pihak bomba. Raihana berjaya diselamatkan tetapi dia tidak sedarkan diri. Dia terus sahaja dikejarkan ke hospital.

Raihana insaf. Dia bersyukur kerana masih terselamat. Dia kini sedar dengan kesilapannya. Sejak peristiwa yang hampir meragut nyawanya itu, Raihana tidak lagi menangguhkan apa sahaja kerjanya. Dia akan melakukan kerja-kerja yang diberikan pada awal waktu.

Saturday, June 11, 2011

Aku Mahu Jadi Penulis

Salam :)

Hmmm... Saya sendiri tak tahu nak mulakan dari mana. Dah lama tak update blog. Jadi macam kekok pulak.

Ok! Saya nak berkongsi dengan semua. Dalam post sebelum2 ni ada saya ceritakan tentang novel Pulanglah Saliha hasil karya mak saya. Bila tengok saja novel mak sy sudah diterbitkan saya teringin nak jadi penulis seperti mak saya.

Sebelum ni saya pernah juga try menulis e-novel (Kemarau Hati tajuknya) tapi tak pernah tamatkan. Bila saya baca balik e-novel tu saya sendiri tak tahu ke mana arah tuju jalan cerita tu. pendek kata saya tak buat persediaan untuk menulis. Saya hanya menulis ikut rasa hati dan sekadar menjadikannya hobi.

Sebagai seorang peminat novel, saya terus membaca novel pelbagai peringkat umur sampailah saya jumpa dengan novel terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Bila saya baca novel2 terbitan GISB barulah saya nampak apa yang sepatutnya ada dalam sebuah novel yang baik. Lepas tu mak saya pula menyertai bengkel penulisan GISB. Mak ada ceritakan bahawa "bila nak tulis novel ni mesti ada matlamat." Penulis2 dibrikan tunjuk ajar dalam menghasilkan novel.

Apa niat kita untuk menulis novel ni? Ada orang tulis novel sebab betul-betul minat. Ada juga yang sekadar nak menambah pendapatan dan ada juga yang nak menyampaikan mesej/ dakwah melalui penulisan novel ini. Kata mak lagi, kalau niat kita nak mendapatkan redha Allah dalam menulis ni lagilah bertambah2 pahalanya. Setiap kali orang baca kita akan dapat pahala. Pembaca bukan sahaja dapat kepuasan malah dapat ilmu.

Sekarang ni saya sudah mula menulis novel. baru beberapa bab. Mak banyak bagi semngat dan sokongan. Alia n Syafikah. Mereka kawan saya dan mereka juga sudah mula menulis novel. Sepupu saya di Kelantan juga mahu menulis novel. Saya harap novel kami dapat diterbitkan satu hari nanti. Insya-Allah. Doakan ya..

Saya juga tabik dengan penulis remaja seperti Nurina Izzati yang berusia 15 tahun. Novelnya bertajuk Single Unavailable. Hasif Hamsyari dan Riha J juga antara penulis remaja yang tak kurang hebatnya. Mereka ini patut dijadikan contoh..

Saya harap korang dapat bagi sokongan n pendapat agar dapat mempertingkatkan diri dan juga sebagai motivasi untuk terus menulis.

Wassalam.

Tuesday, May 17, 2011

Cerpen: Sinar Dalam Gelita

HAZRAN gusar. Peperiksaan PMR hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi. Namun dia masih belum dapat menguasai subjek Matematik. Tambahan pula, guru subjek Matematik di sekolahnya cuti bersalin.

“Ibu, Aran selalu dapat markah yang rendah dalam ujian Matematik. Kalau abang tak mati mesti dia boleh ajarkan Aran,”ujar Hazran.

“Hazran! Abang kamu sudah lama pergi. Kamu harus redha. Jangan dikenang-kenangkan insan yang telah tiada.”

Hazran tunduk memandang lantai. Bukan dia tidak redha. Cuma dia hanya merindui satu-satunya saudaranya itu. Hazran menuju ke bilik tidurnya tanpa pamitan. Air mata mengalir menuruni cerun pipinya. Hazran terlena bersama kenangan indah saat abangnya masih di sisi.

**********

Keesokan harinya, kelas tingkatan 3 Amanah menerima seorang guru baru bagi menggantikan Cikgu Ramlah yang cuti bersalin. Imran namanya. Beliau akan mengajar subjek Matematik.

Hari demi hari, Hazran semakin menguasai subjek yang diajarkan oleh Cikgu Imran. Dia berjaya mendapat gred B dalam ujian percubaan PMR. Dia amat bersyukur. Semuanya kerana tunjuk ajar Cikgu Imran. Beliau telah mengadakan kelas tambahan pada setiap petang secara percuma. Hazran dan rakan-rakannya tidak melepaskan peluang keemasan tersebut.

“Cikgu, saya sukalah subjek Matematik ni. Dulu saya tak berminat langsung nak belajar. Cara Cikgu mengajar membuatkan saya lebih faham,” ujar Hazran selepas selesai Cikgu Imran menerangkan soalan yang tidak difahaminya di bilik guru selepas waktu persekolahan.

“Ingat! Sentiasa berfikiran positif. Itulah salah satu masalah pelajar. Belum mencuba sudah berputus asa,” pesan Cikgu Imran.

Nasihat Cikgu Imran itu tersemat dalam jiwa Hazran.

“ Jika kamu mendapat A saya akan belanja kamu makan.”

“Iyakah cikgu? Baiklah. Saya akan buktikan.” Hazran mengangkat tangan lagak seorang tentera.

**********************

Hazran memerhatikan sebuah kereta Waja yang masuk ke perkarangan sekolah pagi itu. Diamatinya pula nombor pendaftarannya.

“Ya Allah, kereta tu!”

“Kenapa Aran?” Jun Xiang, sahabat baiknya yang berjalan beriringan bertanya. Dia melontar pandangan ke arah yang sama. Jun Xiang terkesima. Dia juga pernah ternampak kereta itu sebelum ini.

Lebih mengejutkan, pemandunya ialah Cikgu Imran. Wajah Hazran merah padam. Marah. Benci. Sedih. Kecewa. Perasaannya bercampur baur.

“Sabar Aran. Mari kita ke dewan. Perhimpunan akan bermula beberapa minit sahaja lagi.” Jun Xiang memujuk sambil menarik perlahan tangan Hazran.

Sejak hari itu,kelakuan Hazran terhadap Cikgu Imran dingin. Dia sering sahaja mengelak apabila terserempak dengan beliau. Apabila Cikgu Imran masuk ke kelasnya untuk mengajar dia hanya mendiamkan diri.

“Cikgu Leela, saya nak tanya soalan Matematik boleh? Saya kurang fahamlah.” Cikgu Imran yang duduk berhadapan dengan Cikgu Leela hanya memandang Hazran dengan ekor matanya.

“Hazran, saya minta maaf. Saya perlu hantar pelajar yang sakit ke klinik sekarang. Awak boleh tanya Cikgu Imran. Maafkan saya ya,” Cikgu Leela mencapai tas tangannya.

“Tak mengapalah Cikgu. Terima kasih sajalah,” Hazran terus berlalu. Wajah Cikgu Imran langsung tidak dipandang.

“Kenapa dengan Hazran tu, Imran?” Cikgu Leela melahirkan kekeliruannya. Cikgu Imran hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Cikgu Imran runsing memikirkan sikap Hazran kebelakangan ini. Hazran seperti mengelakkan diri daripada bertembung dengannya.

‘Mungkin dia tertekan. Lagipun PMR hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.’ Cikgu Imran sekadar menyedapkan hati.

*******************

“Kalau abah jumpa orang yang langgar abang, apa yang abah lakukan?” Soalan Hazran membuatkan bapanya berhenti mengunyah. Ibu Hazran pula terkedu mendengar soalan anaknya itu.

“Cukuplah tu Hazran. Sudah lima tahun peristiwa abang kamu dilanggar berlalu. Tak perlulah kamu menyimpan dendam. Maafkanlah sesiapa saja yang melakukannya. Abah tak mahu perkara ni diungkit lagi,” ujar Encik Munif.

“Betul tu Aran. Yang penting Aran doakan arwah abang dicucuri rahmat. Sedekahkan al-Fatihah setiap kali Aran teringatkan dia,” Puan Anis tahu Hazran masih bersedih. Apatah lagi dia, ibu yang melahirkan. Namun dia yakin ada hikmah yang tersirat.

Hazran kecewa. Bukan itu jawapan yang diharapkan. Dia mahu pembunuh abangnya itu dibawa ke muka pengadilan. Cikgu Imran!

“Abah, Aran tahu siapa yang langgar abang! Kita laporkan pada polis ya,” Hazran bersungguh memberitahu bapanya. Di mindanya terbayang Cikgu Imran dihukum atas kesalahan melanggar lari abangnya.

“Aran, senyap!” Tegas.

Hazran mengetap bibir. Nasi di pinggan dipandang sepi. Seleranya mati. Semua lauk kegemarannya kelihatan tidak menyelerakan.

********************

Hazran menarik nafas lega. Dia baru sahaja tamat menjawab kertas terakhir PMR. Dia berniat mahu menghantar buku rujukan yang dipinjam daripada guru Sejarahnya. Pintu bilik guru dikuak. Kakinya terus melangkah ke meja Cikgu Sofea yang bersebelahan dengan meja Cikgu Imran. Setelah mengucapkan terima kasih Hazran berlalu ingin meninggalkan bilik guru.

“Amboi Imran! Sejak pakai kereta baru ni semakin bergaya Kak Su nampak,” Ujar Cikgu Suhaila. Cikgu Imran tersenyum. Kembang kempis hidungnya dipuji begitu.

Langkah Hazran terhenti di muka pintu. Hazran memasang telinganya mendengar perbualan gurunya itu.

‘Kereta baru?’

“Iyalah Kak Su. Mungkin jodoh dah dekat kot,” Cikgu Sofea menokok. Satu bilik guru gamat dengan gelak ketawa mereka.

“ Siapalah yang mahukan saya ni. Rupa tak ada. Harta tak ada. Lagipun kereta tu pun second hand. Baru saja saya beli bulan lepas.”

‘Baru beli?’

Dada Hazran berdegup kencang.

‘Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?’

*********************

“Terima kasih cikgu.”

“Sama-sama. Sudahlah tu. Kamu sepatutnya bergembira hari ini. Bukan menangis.”

Pelukan terlerai. Cikgu Imran menepuk perlahan bahu Hazran. Hazran mengesat air mata di pipi.

“Kamu ingat janji saya?” Dua kali Cikgu Imran mengangkat keningnya.

“Janji? Janji apa cikgu? Tak ingatlah,” dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia betul-betul tidak dapat mengingati janji yang dimaksudkan.

“Itulah. Banyak sangat makan semut. Kalau kamu dapat A subjek Matematik dalam PMR, saya akan belanja kamu makan. Ingat ?”

Dia mengangguk sambil tersenyum. Bagaimana dia boleh terlupa? “Bila cikgu?”

“Sekaranglah.” Cikgu Imran menjawab selamba sambil kakinya melangkah ke tempat letak kereta guru. Hazran membuntuti langkahnya. Cikgu Imran membuka pintu kereta Waja miliknya. Hazran hanya tercegat di hadapan kereta. Ekspresi wajahnya berubah.Takungan kolam air matanya hampir pecah.

“Cikgu..,”

“Maaf, saya terlupa. Kita pergi jalan kaki saja ya?”

Hazran mengangguk.
Cikgu Imran dapat membaca fikirannya. Segalanya sudah Hazran ceritakan kepadanya.Hazran juga memohon maaf bersama deraian air mata tempoh hari. Dia menyesal. Kini dia sedar. Berburuk sangka dengan seseorang akan mendatangkan keburukan. Dia terharu dengan sikap Cikgu Imran yang sudi memaafkannya biarpun dituduh sebagai pembunuh abangnya.

Betapa mulianya seorang guru. Biarpun dicaci. Dihina. Diherdik. Namun tetap setia mencurahkan ilmu kepada anak didik tercinta. Tetap memaafkan. Tetap menyayangi. Tidak dipinta ganjaran lumayan, cukuplah kejayaan sebagai balasan.


Selamat Hari Guru!

Sunday, May 01, 2011

Dengan KuasaMu [Nur One]

Nur One - Dengan KuasaMu.mp3 (klik utk dengar)


Dengan KuasaMu
Jiwaku tergoncang
Terus melayang
Mengembara cinta

Dengan KuasaMu
Hati telah terpaut
Lalu terikat
Ditawan cinta

Bukan bibir ini berbicara
Namun jiwa ini berbahasa
Dalam lamunan ku yakinkan
Kaulah teman kebahagiaan

Tuhan temukan daku penawar
Terluka ditusuk duri cinta
Hanya dia..cuma dia
Yang kan mampu menyembuhnya

Dan terus aku
Terus berdoa
(Hanya dia membawa bahagia)

Dengan KuasaMu
Mataku memandang
Sepenuh sayang
Dia tercinta

Dengan KuasaMu
Pastiku diseru
Dan kan menyatu
Di ambang cinta

Sunday, April 03, 2011

Novel?

Salam semua! Sihat?

Untuk pengetahuan semua PESTA BUKU ANTARABANGSA 2011 bakal berlangsung pada 22 April - 1 Mei. Mungkin ada yang dah sedia maklum atau sebaliknya. Tak sabar-sabar rasanya. Booth favourite semestinya Galeri Ilmu Sdn Bhd. Korang plak?

Sebagai seorang penggemar novel, mestilah nk beli novel kan.. So, ingat nak beli novel Hero (Hilal Asyraf). Dah baca sikit kat langitilahi. Tak puas rasanya kalau tak baca habis.




Saya lebih suka baca novel islamik. Pada pendapat saya, novel cinta bukannya tak bagus untuk dibaca. Selain mendapat kepuasan, pembaca jugak dapat belajar serba sedikit ilmu yang cuba penulis sampaikan. Tapi...Ada tapinya, novel cinta pada saya amat melalaikan. Membuatkan saya terbang tinggi nun jauh di langit biru bersama camar-camar. Huhuh.... Tengok dah tinggi terbangnya.

Novel cinta banyak menceritakan kisah cinta yang pada saya tidak sesuai dibaca oleh remaja seperti saya. Saya pernah terbaca novel yang mengandungi adegan-adegan yang kurang enak untuk dibaca. Kadang2 sampai ..........................Faham-faham jelah ye. Tak perlulah saya teruskan lagi.

Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk membaca novel berunsurkan Islam. Lebih mendidik. Bermanfaat. Penuh nilai murni dan banyak lagi. Kalau kita baca pon dapat pahala. Tambahan pula kalau kita amalkan apa yang penulis sampaikan lagilah berganda-ganda pahala yang kita dapat. Novel Islamik ada juga unsur cinta sesama manusia tapi cinta Allah tetap no 1. (siapa setuju angkat tangan tinggi2!) :)

Novel Islamik juga sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. So, kalau mak beli novel Islamik ni bolehlah pas kepada anak-anak untuk dibaca. Sebagai penggemar novel, saya memang tabik kepada Hilal Asyraf sebab novel- novel karyanya mampu menyentuh jiwa saya. Sangat-sangat mendidik. Memang tak rugi kalau baca. Proses tarbiah yang ditonjolkan melalui mata pena amat berkesan kepada saya.

Dekat sekolah kawan-kawan saya kurang meminati novel Islamik.Kenapa ya? Soalan ini saya tujukan juga buat penggemar novel di luar sana. Kadang-kadang saya tertanya-tanya. Jadi tolong jelaskan pada saya.... TQ

Sampai di sini saja..
Wassalam.. :)

Thursday, March 17, 2011

Setulus Hati

Aku menghenyakkan tubuhku di sofa ruang tamu. Sesi persekolahan hari ini memang memenatkan.Minggu ini aku sibuk dengan latihan sukan. Dua minggu lagi hari sukan sekolah bakal berlangsung.Tudung di kepala aku tanggalkan. Mata kupejamkan sebentar. Menenangkn fikiranku yang kusut.

"Ayu, bangunlah! Tengok apa yang aku dapat ni!" Aku tersentak. Kelihatan kakakku Hana berlari-lari menuruni tangga mendapatkanku. Dia belajar di sekolah yang sama denganku. Namun di pulang lebih awal. Katanya malas untuk menghadiri latihan rumah sukan.

"Apa dia kak?" aku menyoal malas. "Cantik tak? Zaidi bagi," Hana menghulurkan seutas jam tangan berjenama kapadaku sambil tersenyum bangga. Aku menyambut hulurannya. Aku sudah maklum hubungannya dengan Zaidi. Hubungan mereka baru mencecah tiga bulan.Mereka sedang hangat bercinta.

"Kak, sampai bila? Kau pun tahu apa yang kau buat tak elok. Cukup-cukuplah tu," aku memandang tepat ke wajahnya. Raut wajahnya serta merta berubah. "Kau memang tak suka tengok aku bahagia, kan?"

Aku segera menggeleng. "Bukan macam tu. Kau jangan salah faham kak. Aku cuma tak nak kau terus hanyut. Setiap hari jumpa dekat sekolah. Lepas tu, malam bergayut pula. Cuba fikir dalam-dalam. Membazir masa, membazir duit dan yang paling utama kau dah tambah dosa kau. Tolonglah sedar kak."

Hana memandangku dengan pandangan yang sinis. "Habis, kau tak pernah buat dosa? Ibu pun tak bising aku couple dengan Zaidi. Kau nak melebih-lebih kenapa?" jam tangan pemberian Zaidi dirampas kasar daripadaku kemudian terus dia berlalu.

Ya Allah, berilah hamba-Mu ini kekuatan. Kau kurniakanlah hidayah buatnya.

*******************************************

"Ayu, kau comellah hari ni," abangku, Khairul mendekatiku ketika aku sedang khusyuk menonton drama kegemaranku. "Mesti ada udang di sebalik mi. Nak apa? Pinjam duit? Manalah aku ada duit."

Khairul tersenyum seperti kerang busuk. Masih belum bersuara. "Nak apa?!" aku meninggikan suara kerana dia menganggu konsentrasiku terhadap drama di kaca TV.

"Masa kau balik sekolah Selasa lepas, siapa hantar kau?"

"Mak Amirah. Kenapa?" aku mengangkat kening ala-ala Ziana Zain. Kini aku pandanganku terarah ke wajah abangku.

"Nak.......... nombor dia!"

"Abang Long, untuk pengetahuan kau. Mak si Amirah a.k.a Mak Cik Esah sudah berumur 39 tahun dan mempunyai empat orang anak. Takkan Abang Long jatuh hati kot?"

Khairul menepuk dahinya. "Bukan maknya tapi anaknya. Takkan itu pun tak faham-faham! Susahlah cakap dengan orang terlebih pandai ni," Khairul merungut. Aku ketawa kecil. Sengaja buat-buat tak faham.

"Cepatlah.."

Aku menggeleng tanda tidak mahu memberikan nombor telefon Amirah kepadanya. Dia merapatkan kedua-dua tapak tangannya merayu kepadaku. Aku bertegas. Sekali lagi aku menggelengkan kepalaku. Telefon bimbit di tangan aku pegang kemas.

"Berlagak! Bagilah. Kenapa kedekut sangat." Telefon bimbit di tanganku cuba dirampas. Aku menyembunyikan tanganku ke belakang.

"Bagilah. Bukan aku nak buat apa pun."

"Kalau tak buat apa-apa kenapa nak minta."

"Bagi jelah."

"TAK BOLEH!!!"

Aku menjerit sekuat hati. Sudah aku katakan tak boleh. Dia tetap berdegil.

"Apa yang bising-bising ni?" Ibu muncul dari dapur dengan seteko minuman serta sepiring karipap untuk minum petang.

"Abang Long ni ibu. Dia nak minta nombor telefon Amirah. Entah apa yang dia nak dibuat.Ingat orang tak kenal perangai dia," aku mula mengadu.

"Khairul nak kenal dia je."

Aku amat kecewa apabila ibu mengarahkan aku untuk menyerahkan nombot telefon Amirah kepada Khairul. Sungguh, aku tidak berpuas hati. Aku tetap dengan pendirianku. Tidak akan kuturuti permintaannya.

"Ayu!... Bagi sekarang. Dengar tak ibu cakap.........."

**************************
bersambung...

Sunday, February 13, 2011

Novel Pertama :)




Salam. Sudah lame tak update blog. Sejak sekolah dibuka tak sempat nak update. Hari ni nak bercerita sikit. Alhamdulillah.. novel pertama Mak saya (Rosnani Hasan) telah berjaya diterbitkan. Kami sekeluarga syukur sangat2. Pada mulanya Pulanglah Saliha ni merupakan sebuah cerpen misteri kemudian dijadikan novel.

Jalan ceritanya sarat dengan pengajaran dan nilai murni. Diselitkan juga sudut info pada setiap bab. Contohnya, Pemuda Gua Al Kahfi, Histeria,Keajaiban air, Batuk kering dan juga Resepi Asam Pedas Utara .Walaupun covernya kartun namun novel ini sesuai untuk semua peringkat umur tidak kira remaja mahupun dewasa. Semoga novel ini dapat memberikan manfaat buat pembaca. :)
Saya yakin pembaca tidak mahu melepaskan novel ini apabila mula membaca kerana ingin tahu apa yang terjadi pada bab seterusnya.

Sebarang tempahan novel ini boleh dibuat melalui saya. (cahaya_anugerah95@yahoo.com).
Anda akan mendapat novel beserta autograf eksklusif penulis jika membuat pembelian melalui sy...




Sinopsis:

Bosan menunggu, aku melaung namanya beberapa kali lagi.
Kali ini lebih kuat.
"Cepatlah Saliha, banyak nyamuklah!"
Teriakan satu suara lelaki pantas menyahut dari dalam tandas.
"Apa kau hendak, hah!!!"
Suara itu garau. Suara itu kasar. Suara itu keras.
Suara itu menakutkan.
Suara itu menyeramkan!

Seorang gadis remaja. Saliha yang ceria dan positif penampilannya mengalami kerasukan dan histeria. Ketika Saliha tidak sedarkan diri, siri pengalaman ngeri dan penuh kejutan itu dipaparkan semula oleh rakan-rakan serta ahli keluarga, terutama kakaknya Salina. penuh misteri dan mampu mempengaruhi pembaca bahawa kewujudan makhluk Allah yang bergelar jin dan syaitan ini perlu diimani setiap muslim.

Harga: SM (RM 14.00)
SS (Rm16.00)
Tebal: 236


*Sebarang tempahan novel ini boleh dibuat melalui saya. (cahaya_anugerah95@yahoo.com).
Anda akan mendapat novel beserta autograf eksklusif penulis jika membuat pembelian melalui sy...






Saturday, January 22, 2011

Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2010 YPC

Salam...

Sekolah sy iaitu SMK Seri Saujana merupakan salah satu sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC). Jadi, sesiapa yang cemerlang UPSR, PMR atau SPM akan diberi ganjaran..

Pada hari Selasa 18hb hari tu, sy n kwn2 yg mendpt straight A's telah dijemput untuk menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang PMR 2010 di SMK Seri Permaisuri.

Hadiahnya..

  1. RM 150 (8A) dan RM 200 (9A)
  2. Tiket pegi Times Square (da ilang :) )
  3. Sijil
  4. Sling bag (BSN bagi)
  5. Sebuah buku motivasi
Tahniah! Semoga kita semua terus berjaya dlm hidup... :)

Muka2 cemerlang PMR 2010 SMKSS.
Congrats!
Tiada dlm gambr : Saya..hehe


Terima kasih mak, abah n cikgu2!



Sunday, January 16, 2011

Unic- Menuju Wawasan

Wawasan diri penuhi dada dengan ilmu
Wawasan agama bekalan masa depan dan akhirat
Kuat usaha jujur dan amanah
Sentiasa mengharapkan keredhoan Allah

umat islam harus cemerlang hari
ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa
siapa kata kita tidak boleh
kita ada Allah maha kuasa
kita punya kuasa tenaga
doa sebagai senjata
umat islam sentiasa boleh

umat islam zaman lampau
taat perintah Rasulullah
bersama berusaha bersatu tujuan wawasan
wawasan dunia dan akhirat

aqidah ibadah harus sempurna
ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan
ulama' warisan ambiya'
pegangan mereka harus diikuti
ajaran sesat wajib hindari

umat islam harus cemerlang hari ini
umat islam sentiasa boleh

akhirnya islam cemerlang seluruh dunia




SRAKU :)

Sunday, January 02, 2011

Salam..

selamat tahun baru saya ucapkan kepada semua. :0

Hari ini saya nk share satu benda yang sangat cute..
tadi sy blogwalking n jumpe ini!:puteh_12:










































Comelkan? Sy suka2...

Kalau nk boleh dpatkan kat website Owhsomuslim.
Banyak lagi tips khas buat para muslimin yang boleh kita amalkan..

Contohnya,
A guide to proper hijab for ladies
Way to enter paradise

n byk lg...

Semoga usaha owhsomuslim untuk menyampaikan dakwah dengan cara yang comel ini berkesan n memperoleh manfaat ..

Insya-Allah...