Home

Wednesday, June 13, 2012

Cerpen: Buatmu Yang Bernama Guru

Salam. 
Alhamdulillah... Saya menang pertandingan cerpen ;)
Ini kisahnya. 
Selamat membaca...

**********
        AKU melewati bait-bait bicara Saidina Ali Karamallahu Wajhah. Khulafa al-Rasyidin keempat yang terkenal dengan keindahan budi pekertinya  berkata bahawa, “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku.” Tuan yang dimaksudkannya adalah guru. Ini menunjukkan Saidina Ali amat menghargai jasa seseorang yang mengajarnya biarpun sekecil-kecil ilmu.

Pernah Ustazah Amilah menceritakan kepadaku kisah seorang ulama yang terkenal. Beliau sangat dihormati dan disegani. Keunggulan peribadinya membuat beliau sangat dihormati oleh anak muridnya. Ketika beliau sedang mengajar, tiba-tiba seorang lelaki tua lalu di situ. Ulama tersebut berhenti mengajar lalu memeluk lelaki tersebut. Anak-anak muridnya berasa amat hairan lantas menyoal ulama tersebut mengapa dia memeluk lelaki tua itu. Kelihatan dari fizikalnya seperti orang yang berasal dari pedalaman.

Ulama itu menjawab,” Dia ini adalah guruku. Dia mengajarku dalam membezakan antara lembu jantan mengikut umurnya agar aku dapat menentukan hukum berkisar penyembelihan.” Anak-anak murid ulama tersebut amat kagum dengan sifatnya yang sangat menghormati guru. Mereka malah mencontohi keperibadian guru mereka hingga akhir hayat mereka.

Fikiranku melayang kepada akhbar yang dibaca beberapa hari yang lepas. Tajuk perdana yang disiarkan merupakan kisah sekumpulan pelajar perempuan yang tega memukul guru mereka sendiri hanya kerana guru tersebut menegur penampilan mereka.  Aku benar-benar bersimpati dengan guru tersebut. Niat ikhlasnya untuk membetulkan anak didiknya telah disalah tafsirkan. 

“Ana!”