Home

Saturday, April 18, 2015

TAE #1

TAE

TAE? Apa tu? Macam mana nak sebut? Macam pelik ja bunyinya?

Ok. Ok. Tae. Cara nak sebut camni. 

TA-E. 

Ta di atas ta. Hamzah di bawah i.
Tae. 

Tae ni abang aku. Nama penuh dia Muhammad Fathi. Kenapa Tae? Tulah panggilan dia dari kecik. Adik-adik dia, sepupu-sepupu yang muda daripada dia akan panggil dia Tae. Adik beradik kami ada 10 orang. Tae anak ketiga. Aku bawah dia, yang keempat. 

Sebenarnya, Tae dah dijemput Allah s.w.t pada tarikh 23 Januari 2015 pada umur yang sangat muda. Berapa? Umur dia baru saja 22 tahun. In sya Allah aku nak kongsi kisah istimewa Tae dengan semua orang supaya jadi pengajaran untuk kita semua yang bakal menyusul Tae bila-bila masa.

Moga Allah Redha. 
Allahumma firlamhum warhamhum wa'afihi wa'fuanhum.

***

    Penggera telefom bimbit mengejutkan aku pagi itu. Aku mencapai telefon bimbit. Tertera pada skrin tepat jam 6 pagi. Tanpa berlengah aku mencapai tuala menuju ke kamar mandi. Biasanya aku hanya akan berus gigi, cuci muka dan berwuduk tapi hari ini aku terus sahaja mandi dan bersiap-siap untuk ke kelas. Hari ini kelas hanya 1 jam, lapan hingga sembilan pagi dan pensyarahku akan mengadakan kuiz. Pukul tujuh pagi aku sudah siap untuk ke kelas. Cepat betul aku siap hari itu, kalau hari-hari yang lain pukul tujuh setengah pagi baru bersiap untuk pakai tudung tapi hari itu, entahlah...

    Disebabkan aku tinggal di rumah sewa semester ini, aku membawa kenderaan sendiri. Tiga orang lagi rakan serumah akan naik sekali denganku untuk ke kelas. Sementara menunggu mereka yang masih lagi sedang bersiap, aku membuka buku Financial Management. Menyelak-nyelak untuk mengingat kembali apa yang telah aku baca semalam.

    "Tiya, kakak kau telefon.." wajah Ida terjengul dari balik pintu. Telefon dihulurkan kepadaku. Pelik juga pagi-pagi sudah telefon. Aku masih tak syak apa-apa.

    "Assalamualaikum Atiya."

    "Waalaikumussalam. Awat kak?"

    "Aku rasa hang kena balik sekarang. Tae dah tak dak." 

Allah....

    Air mata terus mangalir laju. Telefon aku hulurkan pada Khadijah, juga rakan serumahku. Tak sanggup lagi untuk aku mendengar bicara kakak. Aku meluru masuk ke bilik. Menangis.

    "Sabar Tiya..Sabar.." Ida cuba menenangkan aku yang masih lagi tak berhenti menangis.

    Seketika kemudian aku tersedar. Aku harus cepat pulang. Aku mengesat air mata. Beg pakaian aku keluarkan tapi aku buntu. Tak bisa berfikir saat itu. Aku bertanyakan Ida, apa yang harus aku bawa.

    "Kau bawak baju sikit untuk pakai nanti." 

    Selesai berkemas ala kadar, aku segera menuju ke kereta dan menghidupkan enjin. Khadijah menawarkan diri untuk menemani aku pulang. Aku tidak yakin untuk memandu dan meminta dia untuk memandu. Perjalanan dari Tapah ke Kuala Lumpur biasanya mengambil masa dua jam. Aku berharap dapat tiba lebih cepat. Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Dijah, nampak kekok ketika memandu. Mungkin tidak biasa memandu kereta milik ibuku itu. Aku jadi resah di tempat duduk penumpang. Risau lambat sampai.

    Kami singgah di RnR Tapah untuk mengisi minyak dan tambah nilai Touch n Go. Aku ke kaunter untuk membayar. RM 30 minyak, RM 20 tambah nilai Touch n Go. Pemuda di kaunter tersebut agak cepat saja menyelesaikan tugasnya. Mungkin terkejut melihat mataku yang merah dan mukaku yang bengkak akibat menangis. Setelah itu, aku kembali ke kereta. Bukan di tempat duduk penumpang tetapi di tempat pemandu. Dijah bertanyakan keadaanku saat itu. Aku cuba meyakinkan dia bahawa aku boleh memandu. Dia bersetuju.

Tok!Tok!

    Cermin pintu hadapan diketuk Dijah yang sedang mengisi minyak. Isyarat tangannya menunjukkan angka dua bermaksud, 'Isi minyak RM 20 ke?' Aku segera menggeleng dan menurunkan cermin tingkap. "Tak dijah. Tadi bagitahu abang tu RM30 untuk minyak. Cuba Dijah pergi tanya kat kaunter." 

    Dijah menuju ke kaunter dan kembali. Katanya memang aku meminta untuk mengisi minyak sebanyak RM 20. Aku jadi marah. Tak percaya tapi malas untuk pertahankan takut mengambil masa. Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sejenak kemudian baru aku tersedar emosi aku tidak stabil pada waktu ini. Mungkin benar aku memang tersalah cakap semasa ingin mengisi minyak tadi. Mungkin aku yang salah. Allahu.. Penyesalan singgah di hatiku kerana cepat benar marah.

    Perjalanan dari Tapah ke Kuala Lumpur saat itu dirasakan terlalu panjang. Biasanya dua jam tidaklah lama mana tapi kali ini dirasakan sangat lama. Alhamdulillah waktu itu lebuhraya lancar. Tak banyak kenderaan. Aku memecut kereta selaju mungkin. Kadang tak sedar aku memandu melebihi 140km/j. Bergegar rasanya kereta Myvi saat itu namun tidak aku  hiraukan demi melihat wajah Tae buat kali terakhir. Sesekali air mata jatuh ke pipi aku seka. Kumat-kamit bibirku melafaz zikir dan ayat-ayat suci yang aku ingat. 

    Sampai sahaja di Sungai Buloh lebuhraya mulai sesak. Waktu itu memang waktu puncak kerana warga kota sedang menuju ke tempat kerja masing-masing. Tambahan pula di kota metropolitan ini, sememangnya kesesakan lalu lintas tak bisa dielak. Lampu kecemasan aku pasang, meminta simpati agar diberikan laluan namun bagai tiada gunanya kerana terlalu sesak. Aku tak senang duduk. 

"Rabbi yassir wala tuassir...Ya Allah mudahkanlah perjalanan ini.."

   Alhamdulillah aku tiba di rumah dalam lingkungan jam sembilan pagi. Aku lihat sudah ramai yang berada di perkarangan rumah. Enjin dimatikan namun diri ini bagai tak bersedia untuk masuk ke dalam. Tak sanggup menatap wajah Tae yang sudah tak bernyawa lagi. Aku kuatkan diri untuk masuk ke dalam rumah. Di hadapan pintu utama, aku nampak Pak Ndak. Merah matanya. Aku lantas bersalaman dengan Pak Ndak. "Pergilah masuk dulu." Aku hanya mengangguk lemah sebelum melangkah masuk.

Ya Allah kuatkanlah aku untuk menatap wajah Tae untuk terakhir kalinya...  

Ya Allah kabulkanlah.. 



No comments: