Home

Sunday, September 14, 2008

mestica


Seperti In-Team dan UNIC, Mestica merupakan sebuah lagi kumpulan nasyid yang mendapati perhatian di kalangan peminat remaja. Pada peringkat awal penubuhannya kumpulan ini pernah menggunakan nama “Ideal” dan “Mestika”. Namun selepas menjalani ujibakat dan diterima menjadi anggota keluarga terbaru Hijjaz Music Entertainment nama kumpulan ini ditukar kepada nama “Mestica”.

Ditubuhkan pada Mei 2002, Mestica dianggotai oleh 4 orang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kumpulan ini merupakan gabungan ahli-ahli daripada 3 kumpulan nasyid yang pernah bergiat aktif di kampus UiTM Shah Alam sekitar tahun 2000 hingga 2002 iaitu IS-ONE, As-Syiffa’ dan Al-Wahdah. Selepas pembubaran kumpulan-kumpuan tersebut, Khairul telah mengambil inisatif untuk mengumpulkan kembali bekas ahli kumpulan-kumpulan tersebut bagi meneruskan kesinambungan irama nasyid di UiTM. Maka dengan itu tertubuhlah kumpulan Mestica (Mestika) yangmembawa maksud 'sesuatu yang berharga' dan pada masa yang sama membawa bersamanya sedikit unsur kemelayuan. Anggota kumpulan Mestica ialah Shaiful (ex As Syiffa’), Khairul (ex As-Syiffa’), Razin (ex IS-ONE), Khalil (ex Al-Wahdah).

Di dalam album sulung 'Sendu Sendawa' yang juga merupakan album pengenalan kepada kumpulan nasyid baru ini, Mestica mengikuti jejak langkah UNIC dengan mengenengahkan irama nayid moden. Sementara UNIC memfokuskan kepada irama pop moden, Mestica cuba memperkenalkan muzik tradisonal dan reggae. Lagu Sendu Sendawa merupakan contoh terbaik irama yang cuba dipelopori oleh aliran muzik Mestica. Ia mempunyai semangat nusantara yang banyak membezakan Mestica dengan kumpulan nasyid yang lain.

Mestica cuba memberi kelainan kepada irama nasyid yang sedia ada dengan mengetengahkan konsep muzik nusantara (pop etnik) melalui melodi lagu yang dibawa mahupun peralatan muzik yang digunakan. Mereka membawa pembaharuan dengan tampil bersama genre pop etnik. Konsep itu dipilih memandangkan genre berkenaan belum diterokai mana-mana kumpulan nasyid sebelum ini.

Lagu Yang Abadi pula mempunyai sentuhan muzik tradisional cina sementara lagu Inayah dimasukkan elemen reggae ke dalamnya.Eksperimen paling unik semestinya dari lagu Arus Ini yang bermula dengan muzik wayang kulit! Ternyata ia berhasil kerana sememangnya ahli-ahli Mestica dapat menghayatinya dengan baik sekali. Mereka mempunyai vokal yang mantap dan harmoni walaupun masih baru dalam bidang seni. Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album mereka ialah Destina Cinta, Egois, Kembali Gemilang dan Kemarau Di Hati.

No comments: