Salam.
Alhamdulillah... Saya menang pertandingan cerpen ;)
Ini kisahnya.
Selamat membaca...
**********
AKU
melewati bait-bait bicara Saidina Ali Karamallahu Wajhah. Khulafa al-Rasyidin
keempat yang terkenal dengan keindahan budi pekertinya berkata bahawa, “Barang siapa yang mengajar
aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku.” Tuan yang
dimaksudkannya adalah guru. Ini menunjukkan Saidina Ali amat menghargai jasa
seseorang yang mengajarnya biarpun sekecil-kecil ilmu.
Pernah
Ustazah Amilah menceritakan kepadaku kisah seorang ulama yang terkenal. Beliau
sangat dihormati dan disegani. Keunggulan peribadinya membuat beliau sangat
dihormati oleh anak muridnya. Ketika beliau sedang mengajar, tiba-tiba seorang
lelaki tua lalu di situ. Ulama tersebut berhenti mengajar lalu memeluk lelaki
tersebut. Anak-anak muridnya berasa amat hairan lantas menyoal ulama tersebut
mengapa dia memeluk lelaki tua itu. Kelihatan dari fizikalnya seperti orang
yang berasal dari pedalaman.
Ulama
itu menjawab,” Dia ini adalah guruku. Dia mengajarku dalam membezakan antara
lembu jantan mengikut umurnya agar aku dapat menentukan hukum berkisar
penyembelihan.” Anak-anak murid ulama tersebut amat kagum dengan sifatnya yang
sangat menghormati guru. Mereka malah mencontohi keperibadian guru mereka
hingga akhir hayat mereka.
Fikiranku
melayang kepada akhbar yang dibaca beberapa hari yang lepas. Tajuk perdana yang
disiarkan merupakan kisah sekumpulan pelajar perempuan yang tega memukul guru
mereka sendiri hanya kerana guru tersebut menegur penampilan mereka. Aku benar-benar bersimpati dengan guru
tersebut. Niat ikhlasnya untuk membetulkan anak didiknya telah disalah tafsirkan.
Suara
ummi dari dapur membuatkan lamunanku terhenti. Semuanya pergi bersama angin petang yang sepoi-sepoi bahasa.
Aku menyahut panggilan ummiku dari kamarku di tingkat atas.
“Marilah
turun. Tolong ummi kelimkan karipap ni.”
Aku
menuruni anak tangga berhati-hati. Kelim karipap?
“Ummi,
manalah Ana tahu nak kelim karipap. Makan Ana tahulah,”aku ketawa kecil. Mahu
menceriakan hujung minggu ini. Aku menggentel-gentel tepung yang belum diuli.
Ummi sememangnya sudah maklum dengan peranganiku yang suka bermain-main dengan
tepung.
“Yang
tak tahu kenalah belajar. Kalau tidak sampai bila-bila pun Ana tak tahu nak
kelim karipap ni,” Ummi bersuara sambil tangannya ligat menguli tepung. Kelihatan
di hujung kabinet karipap yang telah dimasukkan intinya namun masih belum
dikelim.
“Kenapa
ummi tak kelimkan yang tu,” aku memuncungkan bibir ke arah karipap tersebut.
Biasanya ummi akan kelimkan karipap itu awal-awal lagi.
“Ummi
nak ajar Ana kelim karipaplah ni. Mari, ummi tunjukkan,”ummi mengambil sebiji
karipap kemudian menunjukkan kaedah untuk kelimkan karipap tersebut. Aku
mencuba sedaya upaya namun ada juga yang lain rupanya. Bukan rupa karipap lagi.
Ummi tetap memberikan reaksi positif dan menggalakkan aku mencuba lagi.
Aku
teringat akan majalah yang dibaca tadi. Mengenai guru. Ummi juga guruku. Dialah
guru yang paling aku sayangi. Dialah yang mendidikku sejak aku kecil lagi.
“Terima
kasih cikgu!” kata-kata itu aku ungkapkan setelah kami selesai menggoreng
karipap yang kami buat bersama.
“Sama-sama.
Ana tolong hantarkan sedikit ke rumah Cikgu Devi ya,” suruhan ummi aku lakukan
dengan taat.
Cikgu Devi, beliau merupakan jiran kami
sekeluarga sejak kami menjejakkan kaki ke negeri jelapang padi ini enam tahun
yang lepas. Beliau adalah guru di sekolahku dan mengajar pelajaran Sejarah.
Dedikasinya sebagai seorang guru membuatkan para pelajar sangat menghormatinya.
Dia akan memberikan tunjuk ajar sehingga para pelajar faham.
Aku
mengenang kembali kata-kata Cikgu Devi sewaktu kelas tambahan seminggu
lalu,“Kamu semua anak-anak yang beruntung. Guru-guru sekarang amat baik.
Berbeza seperti sewaktu saya bersekolah dahulu.”
Perasaan
ingin tahu yang membuak-buak dalam jiwa remaja membuatkan kami sekelas
melontarkan persoalan. “Kenapa cikgu?” Afnan yang terkenal dengan kaki tidur di
dalam kelas tiba-tiba segar dan bersemangat.
“Betul
kamu ingin tahu? Baiklah, saya akan ceritakan. Dahulu kami, para pelajar jika
cikgu berada di dalam kelas pasti tiada yang berani bercakap-cakap,
bermain-main semasa sesi pembelajaran. Semuanya akan mendengar tanpa membuat
kerja yang lain. Ibu bapa juga lebih percayakan guru-guru daripada anak-anak
mereka sendiri. Mereka membenarkan anak-anak mereka dihukum para guru demi menjadikan
anak-anak mereka insan yang berguna,” Cikgu Devi yang berbaju kurung Pahang itu
bercerita penuh ekspresi.
“Kalau
benarkan anak-anak mereka dipukul bererti mereka tidak sayangkan anak-anak
merekalah cikgu,” Jasmine Lim, gadis bermata sepet yang berada di baris paling hadapan mengangkat
tangan sambil menyoal.
“Bukan
itu maksudnya, Jasmine. Ibu bapa dahulu amat memandang tinggi seseorang guru
itu. Mereka tahu guru tersebut menghukum bukanlah dengan sengaja tetapi untuk
menyedarkan anak didiknya. Guru dahulu tidak seperti guru sekarang. Anak-anak
sekarang manjanya terlebih. Baru dicubit sedikit sudah mengadu kepada ibu bapa.
Namun guru-guru yang tegas dahululah menjadikan cikgu seperti hari ini.”
“Mana
ada. Kami anak jantan. Kuat,” Amir selaku ketua kelas lekas-lekas menafikan.
Seluruh kelas gamat dengan tingkah Amir yang lucu itu.
Aku
menghadam kembali apa yang diceritakan Cikgu Devi. Memang benar. Guru-guru
sekarang cabarannya lebih besar. Masalah disiplin di sekolah, ditambah lagi
dengan tekanan daripada ibu bapa serta pihak atasan yang inginkan peningkatan
dalam aspek pendidikan serta sahsiah.
Sungguh
aku kagum dengan guru-guru masa kini. Yang cekal dan tabah dalam mencurahkan
keringat demi kejayaan anak bangsa. Bagiku manusia yang hebat sahaja yang mampu
menggalas tugas sebagai seorang pendidik ini.
***
Aku
melipat lengan baju kurung sekolah hingga ke paras siku. Matahari yang memancar
di luar kelas membuatkan aku serta rakan-rakanku berasa begitu bahang berada di
dalam kelas. Aku mencapai buku teks Pendidikan Islam dan meletakkannya di atas
meja. Sebentar lagi Ustazah Amilah bakal masuk.
Setelah
memberikan salam kepada Ustazah Amilah, beliau terus saja menegurku,” Ana,
tolong jangan lipat lengan baju macam tu. Nampak aurat. Saya dah pesan supaya
menjaga aurat kan?”
Rakan-rakanku
ada yang ketawa. Aku malu. Benar-benar malu. Suara-suara sumbang dari belakang memerliku.
Aku melahirkan rasa kurang senang pada Ustazah Amilah di bilik guru setelah
tamat waktu persekolahan. Namun aku tersentak dengan kata-kata beliau.
“Ana,
awak ingat satu perkara sahaja. Saya sangat sayangkan para pelajar saya. Kalau
sayang mestilah mahu bersama-sama masuk syurga. Takkanlah sayangkan seseorang
biarkannya melakukan dosa,” tulusnya kata-kata itu membuatkan air mataku
tumpah. Subhanallah!
“Jika
kamu tersungkur ke neraka, akanku gapai tanganmu dan kita berpimpinan menuju ke
syurga yang kekal abadi,” Mata beliau juga berkaca-kaca melafazkan kata-kata
itu.
Aku
memeluk erat Ustazah Amilah. Aku benar-benar insaf. Azamku ingin menjaga maruah
diriku agar sentiasa menjadi muslimah yang sejati.
Guru,
menggalas tugas mulia. Hanya yang luar biasa bisa menggalasnya. Menjadi guru tiada rasuah. Lumayan
sekali pahalanya. Namun bukan itu yang diharapkan. Hanya kejayaan anak didik
yang didamba.
Terima
kasih cikgu! Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu!
1 comment:
nice blogwalking, jgn lupe follow blog cik emma gak ye =)
http://cncitysboutique.blogspot.com/
Post a Comment