Home

Wednesday, June 13, 2012

Cerpen: Buatmu Yang Bernama Guru

Salam. 
Alhamdulillah... Saya menang pertandingan cerpen ;)
Ini kisahnya. 
Selamat membaca...

**********
        AKU melewati bait-bait bicara Saidina Ali Karamallahu Wajhah. Khulafa al-Rasyidin keempat yang terkenal dengan keindahan budi pekertinya  berkata bahawa, “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku.” Tuan yang dimaksudkannya adalah guru. Ini menunjukkan Saidina Ali amat menghargai jasa seseorang yang mengajarnya biarpun sekecil-kecil ilmu.

Pernah Ustazah Amilah menceritakan kepadaku kisah seorang ulama yang terkenal. Beliau sangat dihormati dan disegani. Keunggulan peribadinya membuat beliau sangat dihormati oleh anak muridnya. Ketika beliau sedang mengajar, tiba-tiba seorang lelaki tua lalu di situ. Ulama tersebut berhenti mengajar lalu memeluk lelaki tersebut. Anak-anak muridnya berasa amat hairan lantas menyoal ulama tersebut mengapa dia memeluk lelaki tua itu. Kelihatan dari fizikalnya seperti orang yang berasal dari pedalaman.

Ulama itu menjawab,” Dia ini adalah guruku. Dia mengajarku dalam membezakan antara lembu jantan mengikut umurnya agar aku dapat menentukan hukum berkisar penyembelihan.” Anak-anak murid ulama tersebut amat kagum dengan sifatnya yang sangat menghormati guru. Mereka malah mencontohi keperibadian guru mereka hingga akhir hayat mereka.

Fikiranku melayang kepada akhbar yang dibaca beberapa hari yang lepas. Tajuk perdana yang disiarkan merupakan kisah sekumpulan pelajar perempuan yang tega memukul guru mereka sendiri hanya kerana guru tersebut menegur penampilan mereka.  Aku benar-benar bersimpati dengan guru tersebut. Niat ikhlasnya untuk membetulkan anak didiknya telah disalah tafsirkan. 

“Ana!”


Suara ummi dari dapur membuatkan lamunanku terhenti. Semuanya pergi  bersama angin petang yang sepoi-sepoi bahasa. Aku menyahut panggilan ummiku dari kamarku di tingkat atas.

“Marilah turun. Tolong ummi kelimkan karipap ni.”

Aku menuruni anak tangga berhati-hati. Kelim karipap?

“Ummi, manalah Ana tahu nak kelim karipap. Makan Ana tahulah,”aku ketawa kecil. Mahu menceriakan hujung minggu ini. Aku menggentel-gentel tepung yang belum diuli. Ummi sememangnya sudah maklum dengan peranganiku yang suka bermain-main dengan tepung.

“Yang tak tahu kenalah belajar. Kalau tidak sampai bila-bila pun Ana tak tahu nak kelim karipap ni,” Ummi bersuara sambil tangannya ligat menguli tepung. Kelihatan di hujung kabinet karipap yang telah dimasukkan intinya namun masih belum dikelim.

“Kenapa ummi tak kelimkan yang tu,” aku memuncungkan bibir ke arah karipap tersebut. Biasanya ummi akan kelimkan karipap itu awal-awal lagi.

“Ummi nak ajar Ana kelim karipaplah ni. Mari, ummi tunjukkan,”ummi mengambil sebiji karipap kemudian menunjukkan kaedah untuk kelimkan karipap tersebut. Aku mencuba sedaya upaya namun ada juga yang lain rupanya. Bukan rupa karipap lagi. Ummi tetap memberikan reaksi positif dan menggalakkan aku mencuba lagi.

Aku teringat akan majalah yang dibaca tadi. Mengenai guru. Ummi juga guruku. Dialah guru yang paling aku sayangi. Dialah yang mendidikku sejak aku kecil lagi.

“Terima kasih cikgu!” kata-kata itu aku ungkapkan setelah kami selesai menggoreng karipap yang kami buat bersama.

“Sama-sama. Ana tolong hantarkan sedikit ke rumah Cikgu Devi ya,” suruhan ummi aku lakukan dengan taat.

 Cikgu Devi, beliau merupakan jiran kami sekeluarga sejak kami menjejakkan kaki ke negeri jelapang padi ini enam tahun yang lepas. Beliau adalah guru di sekolahku dan mengajar pelajaran Sejarah. Dedikasinya sebagai seorang guru membuatkan para pelajar sangat menghormatinya. Dia akan memberikan tunjuk ajar sehingga para pelajar faham.

Aku mengenang kembali kata-kata Cikgu Devi sewaktu kelas tambahan seminggu lalu,“Kamu semua anak-anak yang beruntung. Guru-guru sekarang amat baik. Berbeza seperti sewaktu saya bersekolah dahulu.”

Perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam jiwa remaja membuatkan kami sekelas melontarkan persoalan. “Kenapa cikgu?” Afnan yang terkenal dengan kaki tidur di dalam kelas tiba-tiba segar dan bersemangat.

“Betul kamu ingin tahu? Baiklah, saya akan ceritakan. Dahulu kami, para pelajar jika cikgu berada di dalam kelas pasti tiada yang berani bercakap-cakap, bermain-main semasa sesi pembelajaran. Semuanya akan mendengar tanpa membuat kerja yang lain. Ibu bapa juga lebih percayakan guru-guru daripada anak-anak mereka sendiri. Mereka membenarkan anak-anak mereka dihukum para guru demi menjadikan anak-anak mereka insan yang berguna,” Cikgu Devi yang berbaju kurung Pahang itu bercerita penuh ekspresi.

“Kalau benarkan anak-anak mereka dipukul bererti mereka tidak sayangkan anak-anak merekalah cikgu,” Jasmine Lim, gadis bermata sepet  yang berada di baris paling hadapan mengangkat tangan sambil menyoal.

“Bukan itu maksudnya, Jasmine. Ibu bapa dahulu amat memandang tinggi seseorang guru itu. Mereka tahu guru tersebut menghukum bukanlah dengan sengaja tetapi untuk menyedarkan anak didiknya. Guru dahulu tidak seperti guru sekarang. Anak-anak sekarang manjanya terlebih. Baru dicubit sedikit sudah mengadu kepada ibu bapa. Namun guru-guru yang tegas dahululah menjadikan cikgu seperti hari ini.”
“Mana ada. Kami anak jantan. Kuat,” Amir selaku ketua kelas lekas-lekas menafikan. Seluruh kelas gamat dengan tingkah Amir yang lucu itu.

Aku menghadam kembali apa yang diceritakan Cikgu Devi. Memang benar. Guru-guru sekarang cabarannya lebih besar. Masalah disiplin di sekolah, ditambah lagi dengan tekanan daripada ibu bapa serta pihak atasan yang inginkan peningkatan dalam aspek pendidikan serta sahsiah. 

Sungguh aku kagum dengan guru-guru masa kini. Yang cekal dan tabah dalam mencurahkan keringat demi kejayaan anak bangsa. Bagiku manusia yang hebat sahaja yang mampu menggalas tugas sebagai seorang pendidik ini.

                                                ***

Aku melipat lengan baju kurung sekolah hingga ke paras siku. Matahari yang memancar di luar kelas membuatkan aku serta rakan-rakanku berasa begitu bahang berada di dalam kelas. Aku mencapai buku teks Pendidikan Islam dan meletakkannya di atas meja. Sebentar lagi Ustazah Amilah bakal masuk.

Setelah memberikan salam kepada Ustazah Amilah, beliau terus saja menegurku,” Ana, tolong jangan lipat lengan baju macam tu. Nampak aurat. Saya dah pesan supaya menjaga aurat kan?”

Rakan-rakanku ada yang ketawa. Aku malu. Benar-benar malu. Suara-suara sumbang dari belakang memerliku. Aku melahirkan rasa kurang senang pada Ustazah Amilah di bilik guru setelah tamat waktu persekolahan. Namun aku tersentak dengan kata-kata beliau.

“Ana, awak ingat satu perkara sahaja. Saya sangat sayangkan para pelajar saya. Kalau sayang mestilah mahu bersama-sama masuk syurga. Takkanlah sayangkan seseorang biarkannya melakukan dosa,” tulusnya kata-kata itu membuatkan air mataku tumpah. Subhanallah!

“Jika kamu tersungkur ke neraka, akanku gapai tanganmu dan kita berpimpinan menuju ke syurga yang kekal abadi,” Mata beliau juga berkaca-kaca melafazkan kata-kata itu.

Aku memeluk erat Ustazah Amilah. Aku benar-benar insaf. Azamku ingin menjaga maruah diriku agar sentiasa menjadi muslimah yang sejati.
Guru, menggalas tugas mulia. Hanya yang luar biasa bisa menggalasnya.           Menjadi guru tiada rasuah. Lumayan sekali pahalanya. Namun bukan itu yang diharapkan. Hanya kejayaan anak didik yang didamba.

Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu!

1 comment:

CNcity's Enterprise said...

nice blogwalking, jgn lupe follow blog cik emma gak ye =)

http://cncitysboutique.blogspot.com/