Home

Thursday, November 17, 2011

Cubaan..cubaan..

Salam. Ini bab 1 cerita yang nak saya novelkan. Tapi tak tahulah macam mana. Saya masih belajar menulis. Baca dan komen ya. :)

***

Hari pertama persekolahan pada tahun ini berjalan lancar. Ikhwan dilantik sebagai ketua kelas tingkatan 5 Bestari. Sudah dua tahun berturut-turut dia memegang jawatan itu di sekolahnya. Sifat ringan tulang serta bertanggungjawab yang dimiliki Ikhwan membuatkan rakan sekelasnya tidak ragu-ragu dalam memilihnya untuk menjawat jawatan tersebut. Ikhwan juga amat disenangi guru-guru di sekolahnya. Sekiranya guru-guru memerlukan bantuan Ikhwan dengan senang hati membantu.

Seperti biasa, pada awal sesi pembelajaran guru-guru meminta para pelajar memperkenalkan diri masing-masing. Ikhwan juga tidak ketinggalan.

“Nama saya Ikhwan. Saya anak tunggal. Tinggal di Taman Sentosa,” Ikhwan duduk setelah memperkenalkan diri kepada Cikgu Wardah , guru subjek Kimia merangkap guru kelasnya. Ikhwan kemudiannya duduk. Tangannya dicuit seseorang.

“Kenapa kau cakap begitu?” Yusran yang duduk di sebelah Ikhwan menyoal. “Cakap apa?”

Ikhwan membalas pertanyaan Yusran dengan satu lagi pertanyaan. Pandangannya terarah ke depan. Cikgu Wardah sedang menerangkan pula buku-buku yang harus disediakan untuk subjek Kimia yang bakal diajarnya.

“Kau tipu cikgu,” perlahan Yusran bersuara. Takut didengari Cikgu Wardah.

“Sampai bila kau mahu berdendam dengan abang kau? Sampai bila kau mahu tipu semua orang?” Yusran menyambung apabila mendapati Ikhwan tidak memberikan respon.

“Cukuplah Yusran. Aku tak mahu lagi bercakap soal itu. Kau takkan pernah faham perasaan aku. Sebab itulah kau anggap aku membesarkan perkara yang kecil,” Ikhwan bersuara dengan tenang tetapi tegas. Ikhwan menarik nafas panjang. Dia kemudiannya mengeluarkan sebuah buku latihan dari beg sekolahnya tanpa menghiraukan Yusran.

Yusran serba salah. Dia tidak sepatutnya membangkitkan soal itu. Di sekolah, hanya dia yang tahu akan kewujudan saudara kandung Ikhwan. Ikhwan telah menceritakan segala yang berlaku kepadanya. Dia meminta agar Yusran tidak menghebohkan perkara tersebut. Yusran merupakan sahabat baik Ikhwan semenjak tingkatan dua lagi. Ikhwan benar-benar mempercayai Yusran. Oleh sebab itu, dia menceritakan apa sahaja masalah yang dihadapinya kepada Yusran.

Ikhwan tidak langsung menegur Yusran sepanjang waktu persekolahan hari itu. Mungkin berjauh hati apabila Yusran membangkitkan isu abangnya itu. Ketika pulang dari sekolah Yusran segera mendapatkan Ikhwan yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkannya. Selalunya mereka akan pulang ke rumah bersama-sama. Memandangkan kawasan perumahan yang mereka duduki tidak jauh dari sekolah jadi mereka hanya berjalan kaki.

“Ikhwan, tunggu aku!”

Jeritan Yusran tidak dihiraukan. Malah langkah kaki Ikhwan semakin laju.

Yusran mendepakan tangan menghalang perjalanan sahabatnya itu.Kemudian tangan diletakkan di lutut dengan tubuh yang sedikit bongkok, dia kepenatan.

“Ikhwan, kau tak sayang akukah? Sampai semput aku kejar kau.” Yusran bersuara dengan nafas yang putus-putus.

Pertanyaan Yusran membuatkan ketawa Ikhwan pecah.

“Ya Allah, meremang bulu roma aku. Sayang? Kau ingat aku ni kekasih kaukah? Lagipun aku tak suruh pun kau kejar aku,” Bahu Yusran ditolak lalu langkahnya diteruskan.

“Jadi, kau dah tak marahlah?”

“Marah? Sebab apa nak marah?” Ikhwan menaiki tangga jejantas untuk menyeberangi jalan. Yusran masih lagi setia mengekorinya.

“Pasal tadi? Aku minta maaf. Aku bukannya berniat nak sakiti hati kau.”

“Benda kecil saja. Sudahlah. Petang ini kau main bola tak?”

“Mestilah. Tapi aku datang lewat sikit. Ummi aku minta tolong jagakan gerai sekejap,” Ikhwan sudah maklum mengenai gerai makanan milik ibu Yusran. Keluarga Yusran bukanlah dari kalangan keluarga yang senang. Yusran mempunyai tujuh orang adik-beradik dan dia merupakan anak sulung. Setiap hari dia harus membantu ibunya di gerai. Ikhwan tetap menerima Yusran seadanya. Dia tidak memilih dalam bersahabat. Itulah yang membuatkan semua orang menyenanginya.

“Baiklah. Jumpa petang nanti,” mereka berpisah di simpang jalan.

*****

“Bau apa pula ni? Macam bau durian.” Ikhwan menutup hidungnya. Dia memang tidak gemar akan bau durian apatah lagi memakannya. Ikhwan menuju ke dapur. Beg sekolah ditinggalkan di tepi tangga yang berdekatan dengan dapur.

“Ikhwan dah balik? Mari makan. Ibu sudah hidangkan,” Puan Maisarah menceduk nasi ke dalam pinggan lalu dihulurkan kepada Ikhwan.

“Ibu beli durian?” pandangan Ikhwan melilau ke seluruh ruang dapur. Kelihatan dua biji durian yang terletak di atas lantai. Ikhwan tidak menyangka kerana ibunya tidak membeli durian semenjak pemergian abangnya ke UK. Maksudnya sudah lima tahun rumahnya tidak dicemari bau durian. Marwan sememangnya gemar memakan durian. Dia boleh memakan sebiji durian seorang diri. Berbeza pula dengan Ikhwan. Bau durian saja boleh membuatkannya hendak termuntah.

“Ya. Dua hari lagi Marwan pulang. Ibu lupa nak beritahu Ikhwan. Ibu pun baru tahu semalam. Itu yang ibu beli. Diakan suka,” Puan Maisarah tersenyum lebar. Dia sememangnya menunggu kepulangan anak sulungnya itu.

“Apa?! Ibu berguraukan?” Ikhwan tidak mempercayai berita kepulangan Marwan. Dia menganggap Puan Maisarah tidak serius dengan kata-katanya tadi.

“Betullah. Mana ada ibu bergurau. Marwan ada telefon ibu hari tu.”

Ikhwan memandang tepat wajah ibunya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Hatinya terasa perit.

“Ibu, Ikhwan naik dululah,” Ikhwan bangkit dari kerusi. Puan Maisarah menyedari akan perubahan wajah Ikhwan.

“Ikhwan, tak usahlah berdendam lagi. Tak baik. Maafkanlah Marwan ya.” Puan Maisarah menasihati Ikhwan. Dia tahu perasaan Ikhwan terhadap Marwan masih belum berubah.

Mata Ikhwan berkaca. Tidak dapat dibayangkan apabila dia harus berhadapan dengan Marwan.

*****

“Ambilkan tuala aku,” Marwan bersuara kepada adiknya. Ikhwan yang ketika itu leka menonton televisyen tidak mendengar suruhan Marwan. Terlalu khusyuk dengan rancangan kartun pada waktu senja itu.

Marwan hilang sabar. Dia menganggap Ikhwan berpura-pura tidak mendengar arahannya. Tangannya pantas meluku kepala adiknya itu.

“Aduh!”

Ikhwan mengaduh kesakitan. Kepalanya pening. Dia memandang Marwan yang entah bila berdiri di belakang sofa. Tadi abangnya keluar menghadiri latihan bola sepak di sekolah. Ikhwan yang tidak menyedari kepulangan abangnya terpinga-pinga sambil menahan sakit.

“Aku cakap kau buat-buat tak dengar pula. Sengaja nak menaikkan darah aku,” Marwan menarik pula telinga Ikhwan.

“Sakit abang! Maafkan Ikhwan. Ikhwan betul-betul tak dengar. Abang suruh apa tadi? Ikhwan buat sekarang. Tapi abang lepaslah dulu,” Ikhwan bersungguh-sungguh merayu. Dia tidak mampu melawan abangnya. Jika dia berani melawan pasti buruk padahnya. Ini bukanlah kali pertama. Sudah beribu kali dia dikasari oleh abangnya. Semuanya kerana perkara yang kecil. Marwan sengaja mahu membesar-besarkan kesalahannya yang amat remeh. Kesalahan yang boleh dimaafkan.

Marwan merengus kasar. Dia melepaskan telinga Ikhwan yang ditariknya. Ikhwan menggosok-gosok telinganya. Dia yakin pasti telinganya merah. Ikhwan segera menuruti perintah Marwan. Dia segera mengambil tuala abangnya di ampaian belakang rumah. Apa saja suruhan Marwan pasti dia tunaikan tanpa alasan. Dia pernah mengadu kepada Puan Maisarah tetapi teruk pula dia dipukul oleh Marwan. Sejak itu dia tidak mahu mengambil risiko lagi. Puan Maisarah yang selalu lewat pulang dari tempat kerjanya menyebabkan Ikhwan sering dibuli abangnya.

Malam itu seperti biasa Ikhwan akan menunggu kepulangan ibunya. Biasanya Puan Maisarah akan pulang pada pukul lapan malam. Dia terlalu sibuk menguruskan butik Muslimah yang baru dibuka. Alhamdulillah, dengan berkat usahanya dia berjaya memiliki sebuah butiknya sendiri.

“Assalamualaikum ibu,” Ikhwan menyapa ibunya yang baru melangkah ke muka pintu. Dia menyalami tangan ibunya. Puan Maisarah kemudiannya duduk di sofa melepaskan penat.

“Ibu penat? Nak air? Ikhwan buatkan ya.”

Puan Maisarah hanya menggeleng. Dia memandang wajah anaknya itu. Sememangnya Ikhwan mirip wajah arwah suaminya. Terutama bahagian hidungnya yang mancung itu. Cuma kulitnya lebih putih.Tiba-tiba, matanya melekat pada telinga Ikhwan pula. Merah.

“Ikhwan, abang buat perangai lagi?” Puan Maisarah bersuara tenang. Ikhwan hanya diam. Tidak mahu menyatakan apa-apa.

“Cakaplah. Jangan risau, ibu ada.”

“Dia…”

Belum sempat Ikhwan bersuara Marwan yang baru menuruni tangga memotong percakapannya.

“Ha.. Mengadulah pada ibu. Beritahu semuanya. Ada aku kisah?” Marwan bersuara sinis. Ikhwan tidak jadi berbicara. Hanya tunduk memandang lantai.

“Marwan! Kenapa kasar dengan adik? Ibu dah pesan banyak kali. Kenapa degil sangat? Ini mesti nak keluar lagi. Cubalah duduk di rumah pula. Tahun depan awak nak SPM,” Puan Maisarah berusaha menasihati anak sulungnya itu. Namun Marwan tidak mengendahkan. Tangannya pantas mencapai topi keledar di atas rak kasut di luar rumah.

“Ibu, sudahlah membebel tu. Marwan penatlah dengar itu berleter saja. Marwan pergi dulu.”

Marwan memang kerap keluar pada waktu malam. Dia lebih suka melepak bersama rakan-rakannya di kefe siber berhampiran dengan rumahnya. Bukannya Puan Maisarah tidak melarang tetapi Marwan tetap keras kepala dengan sikapnya itu.

Ikhwan masih ingat peristiwa itu. Peristiwa dia dikasari. Kepalanya diluku hanya kerana dia tidak mendengar panggilan Marwan. Ikhwan mengepal penumbuk. Dia tidak mahu lagi dirinya dikasari. Tidak lagi! Ikhwan berazam pada dirinya sendiri.

Malam itu Ikhwan terlelap bersama dendam yang membara terhadap abangnya sendiri. Dendam yang hadir dari hasutan syaitan yang takkan pernah putus-putus melaga-lagakan manusia seperti yang pernah dilakukan terhadap Habil dan Qabil yang akhirnya membawa kepada pembunuhan yang pertama di atas muka bumi ini.

1 comment:

FaraH FariD said...

WOW ! besnye .. ! buat la lg ..!
:)