Assalamualaikum w.b.t
Dah lama tak menulis.
Nak asah semula.
Doakan yang terbaik ya. :)
___________________________________________________
Suasana sayu
menyelimuti Zakwan saat menatap pusara yang masih merah itu. Hanya tinggal dia
di situ. Sanak saudara serta sahabat handai sudah lama mengangkat kaki
meninggalkan dia sendirian. Kini sesalannya tidak berguna lagi. Biar air mata
darah yang mengalir takkan mengubah takdir Ilahi. Dia benar-benar tersentap
saat menerima berita tersebut.
Awan berarak
menutupi langit biru. Hari semakin gelap. Kedengaran guruh berdentum menandakan
hujan yang bakal membasahi alam ciptaan Allah. Namun Zakwan tidak berganjak
walau seinci. Biar dia di sini merawat duka yang dia sendiri tahu takkan
terubat. Dia sedar sesalan ini takkan berakhir hingga ke akhir hayatnya. Surah
Yaasin yang tangan digenggam erat. Dia hanya mampu menatap bait-bait cinta
tuhan itu tanpa mampu melisankan. Dia akui sudah beribu batu menjauhi Sang
Pencipta hingga terlupa apakah ini huruf ba, ta atau tsa? Air matanya deras
mengalir. Batu nisan yang berdiri di atas pusara diusap perlahan.
"Maafkan
Zakwan...."
Zakwan tersentak
saat bahunya disentuh seseorang. Air mata segera diseka.
"Dik, dah nak
hujan ni. Elok adik balik dulu," sapaan si pemuda tidak dihiraukan.
Pandangannya dialihkan semula ke pusara di hadapannya.
"Berdoalah
semoga arwah tenang di sana. Doa seorang anak yang soleh InsyaAllah akan
menjadi cahaya yang menemani si mati," hanya itu yang bisa Aliff katakan
sebagai nasihat. Aliff tahu remaja di hadapannya itu bersedih atas pemergian
bapanya. Siapa yang tidak bersedih atas pemergian insan yang disayangi.
Kilat
sabung-menyabung. Aliff ingin melangkah pergi sebelum hujan turun. Cangkul di
tangan segera diangkat.
"Berguna ke
doa saya ni? Saya anak derhaka! Anak derhaka!" jeritan Zakwan benar-benar
mengejutkan Aliff. Zakwan membenamkan wajahnya ke atas pusara bapanya.
Tangisannya makin jelas kedengaran. Aliff berusaha menenangkan Zakwan. Hujan
mula turun dan semakin lebat. Aliff bertindak mengangkat Zakwan. Perbuatan
Zakwan yang meratapi kematian bapanya itu sesuatu yang dilarang agama.
"Lepaskan
aku! Aku ni anak derhaka, baik aku mati saja...Argh..!" rontaan Zakwan semakin
menyukarkan Aliff yang ingin membawanya berteduh di pondok berdekatan.
"Dik, tak
baik begini," Aliff mencengkam kuat tangan Zakwan. Rontaan Zakwan semakin
lemah lalu dia jatuh pengsan. Aliff serta merta memapah Zakwan ke pondok untuk
berteduh. Zakwan dibaringkan di pondok tersebut. Mujurlah Zakwan tidak terlalu
berat, dapatlah dia memapahnya. Aliff membuka selipar Zakwan serta melonggarkan
pakaiannya agar lebih mudah untuk bernafas. Air hujan ditadah sedikit lalu
dipercikkan ke wajah gusar Zakwan.
"Dik, bangun
dik.." pipi Zakwan ditampar perlahan. Kelopak matanya terbuka sedikit demi
sedikit. Zakwan cuba bangun perlahan-lahan biarpun kepalanya terasa berat. Dia
cuba mengimbas keadaan sekeliling. Saat dia benar-benar sedar air matanya tumpah
lagi. Aliff benar-benar simpati dengan keadaan Zakwan yang terlalu
bersedih.
'Ni betul-betul
parah ni.' Bisik hatinya.
"Saya nak
balik," seliparnya disarungkan ke kedua belah kaki. Belum sempat melangkah
Aliff menahannya agar dia tidak meneruskan niatnya.
"Hujan lagi
tu. Duduk dulu," Aliff menepuk lantai kayu disebelahnya. Meminta Zakwan
duduk di situ. Zakwan hanya menurut kata Aliff. Entah mengapa pemuda yang
menggali kubur bapanya itu begitu sabar melayani kerenahnya.
Kedua-dua mereka
bisu tanpa bicara. Hanya bunyi hujan yang menimpa atap zink pondok tersebut
kedengaran. Aliff tidak tahu apa yang seharusnya dibicarakan. Sungguh, dia
ingin tahu apa sebenarnya yang menimpa anak muda ini hingga kesedihannya sampai
ke tahap ini. Namun niatnya ditangguhkan takut mengguris hati Zakwan. Zakwan
kelihatan termenung. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Aliff segera
membuang prasangka buruk terhadap Zakwan. Namun kata-kata yang diucapkan Zakwan
masih bermain-main dalam fikirannya.
'Dia anak derhaka?
Tapi kenapa? Benarkah?'
"Ehem.. Nama
kau apa?"
"Zakwan."
"Nama abang
Aliff." dia cuba mengubah suasana. Namun tiada reaksi yang diberikan oleh
Zakwan. Aliff menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak biasa
menghadapi situasi sebegini. Aliff yang terlihat jam di tangan Zakwan lalu
teringat bahawa dia belum menunaikan solat Asar. Setelah mengambil wuduk
menggunakan air mineral yang dibawanya dia terus sahaja membentangkan kain
pelikat dan menunaikan solat. Perbuatan Aliff benar-benar menarik perhatian
Zakwan. Fikirannya yang bercelaru sebelum ini berubah tenang saat melihat
tindak-tanduk Aliff yang agak asing baginya.
'Ambil wuduk guna
air mineral je? Sembahyang tak guna sejadah pulak tu. Peliknya.'
"La..Abang lupa nak ajak kau
solat sekali. Nah, untuk ambil wuduk," Aliff menghulurkan botol air
mineral kepada Zakwan. Zakwan kelihatan ragu-ragu untuk menyambut huluran Aliff
namun tetap diambilnya. Apa yang dia harus lakukan? Dia tidak tahu cara
berwuduk begitu. Dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri. Takkanlah dia mahu
berterus terang.
"Zakwan, kenapa ni?"
"Saya....."
----------------------------------